Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Senyum Syawal Buah Tangan Baru Dari Ana Raffali

Mohamad Bakar
21/06/2017 02:00 MYT

Di awal kemunculan Ana Raffali, penyanyi yang baru-baru ini menyertai pertandingan realiti Gema GegarVaganza pernah tampil dengan lagu raya berjudul Hari Hari Hari Raya selain tampil sebagai penampilan khas untuk beberapa buah lagu raya lagi.

Tahun ini, penyanyi lagu Tolong Ingatkan Aku itu muncul pula dengan sebuah lagu raya berjudul Senyum Syawal selepas sekian lama dikatakan menyepi.

Lagu itu diinspirasikan oleh anaknya sendiri, Aaydeen Oumar, 2 tahun empat bulan. Bagaimana ilham untuk lagu itu datang ketika mendukung Aaydeen yang ketika itu baru berusia empat bulan.

“Buat permulaan saya sudah buat soft launch lagu itu di medium muzik, SoundCloud.

“Saya tercetus idea mencipta lagu itu ketika mendukung anak. Dalam keletihan mengharapkan anak cepat tidur, dia pula memberikan senyuman. Lama lama senyum itu terus buat saya jadi lembut hati. Lihat betapa kuat kuasa senyuman anak yang mampu membuat hidup jadi colorful.

“Lagu itu ia mengenai hubungan ibu dan anak. Menjadi ibu juga bukanlah kerja dan tanggungjawab mudah. Dalam dunia ini pun bukan ada kerja senang. Tapi apabila kita senyum dan melihat orang membalas senyum itu, insya-Allah yang susah akan jadi senang. Hidup akan jadi aman dan sempurna kalau semua lemparkan senyuman.

“Video muzik lagu itu juga sudah dirakamkan,” katanya yang akan pulang beraya di kampung halaman suami di Pasir Putih, Kelantan.

Sementara itu, isteri kepada Ahmad Aznaim Abdullah itu turut meluahkan keinginan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang neurosains.

Luahnya, kecenderungan mengkaji aspek neurosains dalam bidang pendidikan mahu diikutinya, malah Ana sedia ke luar negara bagi merealisasikan cita-citanya.

"Buat masa ini, saya masih mencari pusat pengajian bersesuaian. Aspek neurosains dalam pendidikan sangat menyentuh minat saya. Sekarang saya masih mencari bahan kajian yang sesuai sebelum membuat sebarang keputusan," katanya yang mula menyertai persada seni kira kira pada 2010.

#Kosong Kosong Dari Hati