Bekas juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana akur dengan citarasa peminat yang mahukan dirinya kembali menyanyikan lagu mendayu-dayu atau tangkap lentok.
Menurut Siti Nordiana atau lebih akrab disapa Nana, bukan saja kerana mengikut kehendak peminat tetapi jauh di sudut hati genre sebegitu sememangnya cukup dekat dengan jiwanya.
Pengakuan itu dibuat Nana selepas single sebelum ini, Pesanan Teragung hasil ciptaan Audi Mok dan Omar K yang berentak urban didakwa kurang mendapatkan sambutan berbanding lagu nyanyiannya sebelum ini sehingga menyebabkan Nana terpaksa muncul dengan single baru yang lebih melankolik genrenya.
"Kalau diikutkan, jiwa Nana memanglah lagu kampung. Tapi disebabkan mahu mencuba lagu berentak urban dan kebetulan Nana memang teringin menyanyikan lagu Audi Mok dan Omar K, maka Nana pun rakamlah lagu Pesanan Teragung itu. Walaupun lagu itu kurang mendapat sambutan namun Nana dapat juga peminat baharu bila menyanyikan lagu berentak urban ini.
“Kiranya ia juga adalah satu eksperimen daripada Nana. Sekurang-kurangnya Nana sudah cuba untuk menyanyikan lagu yang bukan dari zon selesa Nana,” kata Nana kepada Rojak Daily Kaw!
Untuk penerbitan single itu, Nana yang juga menulis sendiri lagu dan lirik lagu itu menjalinkan kerjasama dengan Luncai Emas dan edaran lagu oleh Seventeen Eleven Music Sdn Bhd.
Meskipun maklum balas peminat sedikit perlahan namun apa yang membuatkan Nana teruja, lagu itu berjaya memperkenalkan dirinya dengan peminat baharu.
Bercerita mengenai buah tangan terbarunya itu, Nana berkata lagu itu mengambil masa setahun untuk disiapkan dan perkara itu berlaku disebabkan kekangan masa serta berdepan dengan masalah mencari idea.
“Nana buat secara perlahan-lahan dengan bantuan rakan-rakan. Nana cuma ‘humming’ dan rakam menerusi voice note di telefon. Lagu ini dihasilkan berdasarkan kisah cinta Nana dari zaman remaja termasuk dengan bekas suami.
“Ini adalah percubaan pertama Nana menghasilkan lagu berentak perlahan. Kali terakhir Nana cipta lagu sendiri adalah sekitar 2005 dan itupun lagu berentak rancak berjudul Serikan Wajahmu dan Seribu Janji,” cerita penyanyi berusia 33 tahun ini.
Pada majlis itu, tetamu turut dipertontonkan dengan muzik video lagu berkenaan. Pasangan Nana dalam drama Dia Semanis Honey iaitu Alif turut kelihatan membintangi muzik video terbabit.
Melihat perkara itu, Nana turut diajukan soalan tidakkah dia gusar jika ada yang akan jemu ataupun menganggap Nana terus dibayangi dengan drama bersiri berkenaan apabila memilih Alif sebagai pasangan dalam video berkenaan?
“Nana tahu tak semua orang akan suka dengan apa yang Nana lakukan. Setiap artis kan ada pembenci tersendiri. Nana buat ini adalah untuk peminat. Mereka yang minta dan masih tak boleh lupa dengan gandingan kami dalam drama itu. Lagipun ini juga adalah sebuah hadiah daripada kami sebelum Nana dan Alif muncul dalam drama terbaru tahun depan yang berjudul Pengantin Musim Salju.
“Penampilan Alif dalam video ini juga dikira seperti situasi menang-menang. Alif pun ada rumah produksi sendiri dan saya ada juga membantunya. Kiranya kami saling tolong menolong,"ujar Nana.