Skip to main content

Market Trends

Sherman Tan Buktikan Jiwa Sebenar Selama 23 Tahun Bukan Omong Kosong

sherman.jpg

Nama Sherman Tan tidak dikenali ramai dalam arena muzik arus perdana tetapi dia cukup popular dalam kalangan peminat yang sering mengunjung kelab hiburan dan hotel di sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Pulau Pinang.

Sebagaimana impian penyanyi mahu memiliki album sendiri, begitu juga Sherman yang akhirnya tercapai apabila memiliki album It's Too Late. Paling istimewa album yang mengandungi dua lagu iaitu "It's Too Late" dan "Smile Again" berkonsepkan Balada dan Blues disifatkan mampu meruntun jiwa pendengar.

Advertisement

Sherman, 45, berkata, album debut ini terhasil untuk membuktikan jiwa sebenar dirinya dalam bidang muzik sejak 23 tahun lalu bukan hanya omong-omong kosong.

"Album ini cukup menarik kerana salah satu lagu "Smile Again" dididikasikan khas untuk anak lelaki tersayang berusia enam tahun yang merupakan kanak-kanak istimewa. Segala kepayahan dan kasih sayang saya dicurahkan dalam lagu ini kerana memiliki anak syurga adalah satu kurniaan dari Tuhan yang tidak perlu dikesali.

"Album ini bukan untuk menagih simpati sesiapa tetapi ia satu karya yang cukup istimewa selain giat melakukan promosi di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang," katanya ketika melancarkan album tersebut di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Sherman memberikan autograf buat peminatnya ketika majlis pelancaran albumnya, It's Too Late di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Tambahnya, sebagai penghibur berpengalaman lebih dua dekad ia sudah cukup memberikan inspirasi kepadanya untuk memiliki album sendiri.

"Peluang merakam album adalah satu hadiah istimewa bagi saya dan tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja selain sambutan yang diberikan ketika mengadakan promosi album amat memberangsangkan. Saya juga bakal mengadakan promosi album di Singapura, Osaka, Jepun dan Pattaya, Thailand tidak lama lagi selain giat mengadakan promosi bergerak di seluruh negara," katanya.

Topik Berkaitan

Must-Watch Video