Namanya menjadi sebutan selepas dinobatkan juara Penang Shanghai World Star Quest 2008 yang diadakan di Pulau Pinang. Sejak itu Shila Amzah terus melangkah yakin mencuba nasib di pertandingan bertaraf dunia, Asia Wave 2012. Ternyata keputusan berhasil meletakkan namanya sebaris dengan bintang ternama antarabangsa. Kejayaan meraih kejuaraan Asia Wave 2012 membolehkannya memperoleh dana bernilai lebih RM1 juta merangkumi rakaman album, konsert dan promosi album di China dan pada April 2016 yang lalu, Shila mengumumkan album pertama dalam bahasa Cina, My Journey di Instagram, Twitter dan Facebook. Album ini dipasarkan di kelompok sasaran termasuk Amerika Syarikat dan Australia. Di sebalik kisa kejayaan, tidak ramai mengetahui siapa Shila sebelum terkenal. Ikuti temubual kami bersama anak sulung ND Lala tentang memori zaman kanak-kanaknya.

Gambar: Esmond Goh

Makanan ringan pilihan kala menonton TV?

Shila suka popcorn, Cheezels dan Super Ring… Eh, pendek kata semua makanan berkeju lah. Sebelum makan, Shila akan sarungkannya di jari seperti cincin. [Ketawa]

Mainan pilihan di taman permainan?

Shila suka jongkang-jongket, gelongsor dan ya, buaian! Taman permainan yang sering Shila pergi ada buaian yang boleh dihayun sangat tinggi. Paling cool, Shila akan terjun daripada buaian yang sedang berayun separuh di udara.

Item moden yang anda wish ada di zaman kanak-kanak?

Shila hanya inginkan teknologi walaupun ada pros dan cons! Dahulu tiada gajet canggih, tetapi zaman kanak-kanak sangat seronok. Shila akan menghabiskan masa di kampung, panjat pokok kelapa dan bermain kejar-kejar. Jika dahulu kita hanya mengenali ABC di sekolah tadika, tetapi kanak-kanak hari ini telah mengenali nombor dan abjad seawal usia 2 tahun!

Pernah mempunyai sebarang fantasi?

Shila ada rakan fantasi! Shila kurang bercakap sehingga menyukarkan ibu dan ayah untuk memahami kehendak anak sulung mereka ini. Kadang kala mereka Nampak Shila bercakap seorang. Sebenarnya Shila bercakap dengan my imaginary friend, Eddy. Dia seorang budak lelaki yang comel. Nakal dan selalu menyorok di bawah katil. Kami selalu bermain sorok-sorok. Inilah antara sebab mak tak suka bawa Shila ke mall sebab Shila selalu hilang, akibat leka bermain sorok-sorok dengan Eddy di celahan baju.

Anda kaki buli atau mentor kepada adik-adik?

Kedua-duanya. Shila ada dua adik lelaki, Amir Syafiq dan Amir Syahir dan Shilalah satu-satunya anak perempuan dalam kelaurga sebelum adik perempuan bongsu, Nur Syuhada lahir. Shila dan salah seorang adik lelaki akan membuli adik lelaki bongsu sampai menangis. Dia akan menangis secara berlagu dan kami cukup suka mendengar melodinya!

Gambar: Esmond Goh

Ada bantal busuk atau sebarang objek kesayangan lain?

Ada! Shila ada Bunny, patung arnab yang akan Shila bawa tidur. Sehingga sekarang Shila masih menyukai anak patung dan akan membawanya naik kapal terbang untuk dijadikan pengganti bantal. Shila tak boleh tidur tanpanya!

Memori zaman kanak-kanak.

Ada beberapa. Salah satu daripadanya pernah terseliuh pergelangan tangan ketika berusia 9 atau 10 tahun. Ketika itu Shila memanjat tembok di kampung gaya superman sebelum tergelincir jatuh. Shila juga ada tabiat gemar buang air kecil merata-rata- di sekolah, dalam kereta atau supermarket. Shila masih ingat ketika kami tersekat dalam kesesakan lalu lintas, Shila tak tahan hendak buang air kecil dan ya, habis kusyen kereta ayah!

Gambar: Esmond Goh