Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Siti Nurhaliza Padam Entri Instagram Demi Elak Kontroversi

Chempaka Nur Iman
11/12/2017 17:03 MYT

Mengikut nasihat suami selain enggan mencetuskan kontroversi membuatkan Datuk Seri Siti Nurhaliza, 38, mengambil jalan selamat memadam klip video imbasan kandungan yang dimuat naik ke Instagram, baru-baru ini.

Katanya yang tampak semakin berseri, tiada apa yang mahu dirahsiakan namun perkongsian mengenai jantina bayinya itu nanti bakal dikongsi apabila tiba waktu yang tepat.

"Itu semua keseronokan kerana teruja. Bayi lelaki atau perempuan, nanti kita akan tahu juga. Saya bukan nak berahsia sangat, cuma tunggu masa yang sesuai.

"Lagi pun, suami tak berapa gemar saya berkongsi apa-apa mengenai kandungan sebab masih di dalam kandungan.

"Biar betul-betul cukup sifat dulu, selepas itu semuanya baharu kita kongsi. Apa pun saya tidak akan berahsia.

“Apabila tiba masanya nanti tentu saya umumkan. Lagi pun saya tahu ramai mendoakan kami," katanya yang turut memeriahkan acara larian amal, Jakel Charity Run For Rohingya, Ahad lalu.

Terdahulu, dalam satu posting, Siti memaparkan video imbasan wajah dan bentuk bayinya yang dimuat naik pada 26 November lalu. Dalam entri sama, ia turut menyelitkan rakaman perbualan doktor yang memberi gambaran jantina bayi dikandung adalah perempuan.

Menerusi video berdurasi 30 saat terbabit, terdengar doktor menyebut perkataan 'princess' sekali gus seakan merujuk jantina bayi penyanyi nombor satu negara itu.

Berkongsi perihal penyertaannya dalam aktiviti larian itu biar hamil enam bulan, Siti berkata, ia adalah kerja amal selaku sebahagian daripada keluarga Jakel.

"Saya berbesar hati dapat bersama-sama terbabit dalam aktiviti seumpama ini. Doktor juga menyarankan supaya saya lebih aktif.

“Pada masa sama matlamat ‘turun padang’ hari ini antara lain sebagai menyatakan sokongan rakyat Malaysia kepada masyarakat Rohingya," katanya.

#Penyanyi Nombor Satu Negara