Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.55 kilogram secara pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta jam 8.17 pagi tadi.
Berita gembira itu dikongsi penyanyi tersohor berkenaan menerusi kenyataan media yang dimuatnaik di akaun Instagram rasminya, @ctdk.
Suaminya, Datuk Seri Khalid Jiwa berkata beliau bersyukur proses melahirkan berjalan dengan baik malah kedua-dua insan kesayangannya dalam keadaan sihat.
Katanya lagi, buat masa ini hanya kaum keluarga terdekat sahaja dibenarkan untuk melawat bagi membolehkan Siti mendapat rehat secukupnya serta menumpukan momen awal bergelar ibu.
Pasangan terbabit turut mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan doa berterusan dari seluruh ahli keluarga, rakan, peminat serta wakil media dari awal kehamilan hingga melahirkan.
Dalam entri sama, mereka juga mendedahkan Isnin dipilih sebagai hari untuk melahirkan anak sulung mereka kerana ia bersamaan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW selain tepat pada 1 Rejab.
Bagaimanapun, mengenai gambar si kecil dan namanya, Khalid dan Siti meminta waktu sebelum berkongsi perkara itu kepada umum.