Ia suatu yang meninggalkan nostalgia dan makna cukup mendalam buat kumpulan rap terkenal, KRU yang meraikan ulang tahun bersama peminatnya dalam konsert ‘KRU25 Live in Singapore’ di Esplanade, Singapura pada 6 Ogos lalu.

Begitu juga peminat, peluang mengimbau kembali kegemilangan lagu-lagu popular KRU secara langsung dalam sebuah konsert sudah pasti menghiburkan mereka.

Di sebalik pencapaian terbaru KRU ini, salah seorang anggota kumpulan ini iaitu Yusry Abdul Halim juga berkongsi kenangan manis dalam persembahan itu bersama insan tersayang, Lisa Surihani. Isterinya itu menjadi ‘kejutan’ buat peminat apabila muncul sebagai penari latar KRU.

Namun, Yusry menyatakan pembabitan Lisa lebih daripada itu kerana menyokongnya sejak mengadakan latihan pada Ramadan lalu. Tambahnya dalam ‘status cinta terbuka’ itu, Lisa yang menemaninya di studio turut menyanyi bersamanya mengakui menyukai susunan baru lagu KRU untuk persembahan tersebut.

“Bila dah lewat malam tiba-tiba dia senyap. Bila intai rupanya dah tidur atas ‘couch’ dalam studio. Apabila dalam latihan, dia seperti pengajar yang memastikan saya ingat setiap langkah dan tidak menipu langkahnya,” katanya menerusi Instagram, yusrykru.

Lebih manis, Yusry menyatakan isterinya seperti kru ‘pit stop’ Formula 1 ketika dia tukar baju ketika persembahan itu.

Akui Yusry, persembahan itu tidak sama tanpa adanya isteri di sisi sambil menyatakan penghargaan pada Lisa yang memahami, menyokong dan bersabar dalam persediaan dan melaksanakan persembahan istimewa itu.