“Saya bukan berlagak tetapi saya mahu pelakon itu sedar jangan lantang mengkritik atau sengaja mempersoalkan kejayaan seseorang,” tegas pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof, 33, menjelaskan tindakannya memuat naik satu nota di akaun Twitter rasmi miliknya yang mengaitkan pelakon Redza Minhat.

“Ini bukan soal lupa diri, tetapi saya mahu dia ingat jangan fikir dia lebih bagus dan hebat, orang lain semuanya gagal.

Saya hanya buat untuk menyedarkan.

“Prinsip saya mudah, kalau sesebuah filem itu berjaya, kita perlu hormat karya itu. Apa yang saya lakukan ini hanyalah untuk menyedarkannya saja dan harap dia faham,” katanya.

Ujar Syamsul lagi, contohilah sikap pengarah hebat lain seperti Datin Paduka Shuhaimi Baba, walaupun menghasilkan filem seni, dia tak pernah menghakimi karya orang lain.

Sering pertikaikan kejayaan orang lain.

Menurut Syamsul, sebelum ini Redza banyak mempertikaikan kejayaan filem arahannya termasuk karya lain yang berjaya di laman sosialnya.

“Sudah berapa filem dia dah buat? Tak tahulah kalau dia berada di kedudukan saya sekarang, bagaimanalah agaknya dia menilai hasil kerja orang lain.

Ada saja yang tak puas hati.

“Jika dia rasa apa dia buat itu adalah atas dasar hak kebebasan bersuara atau sekadar mengkritik, apa perasaannya jika saya buat perkara yang sama terhadap karyanya,” katanya.

Terdahulu pengarah filem Munafik itu memuat naik satu nota di laman Twitter miliknya mempersoalkan kembali tindakan segelintir penggiat seni termasuk Redza Minhat yang didakwa tidak berpuas hati setiap kali dia memperolehi kejayaan termasuk kemenangannya pada Festival Filem Asia Pasifik Ke-57 kategori Pengarah Terbaik baru-baru ini.