KAW
"Suka Duka Ketika Mula Menceburi Bidang Ini Datang Menerpa, Membuatkan Saya Menangis" - Dayang Nurfaizah
Kejayaan berganda yang dinikmati penyanyi Dayang Nurfaizah menerusi Anugerah Juara Lagu ke-31 yang berlangsung Ahad lalu tidak pernah membuatkan penyanyi ini berasa dirinya cukup bagus serta wajar digeruni penyanyi lain. Menurut Dayang, sebagai anak seni, perkataan puas hati tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya dan selagi ada ruang dan kesempatan, dia akan terus memperbaiki kekurangan diri untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Poster Lelaki Teragung. (Kredit Gambar: Instagram Dayang Nurfaizah @dayangsayangkamu)
Justeru, setiap kali diberi berdepan dengan mana-mana pertandingan, bukan kemenangan yang menjadi fokus utama tetapi kepuasan peminatlah yang menjadi matlamatnya.
“Terus-terang, setiap kali bertanding, kemenangan bukanlah perkara yang menjadi keutamaan. Ketika sesi latihan lagi, fokus Dayang adalah untuk memastikan yang Dayang sihat, tidak batuk dan cukup tidur.
"Pada Dayang, kalau Dayang berjaya menghiburkan orang dan dapat berikan yang terbaik, walau tewas sekalipun, itu sudah memadai untuk buat Dayang happy,"ujar penyanyi berusia 35 tahun ini.

Bergambar untuk kenangan peribadi sebelum bermula persembahan.(Kredit Gambar: Instagram Dayang Nurfaizah @dayangsayangkamu)
Pada malam kemuncak yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra itu, Dayang menyanyikan lagu hasil ciptaan Natasha dan lirik oleh Iman Imran berjudul Lelaki Teragung. Lagu yang yang dipilih menjadi lagu tema drama rantaian 7 Hari Mencintaiku itu bukan saja dinobatkan sebagai juara tetapi turut memberi kelebihan kepada Dayang untuk merangkul trofi Vokal terbaik untuk tiga tahun berturut-turut.
“Dayang tak pernah anggap sebegitu kerana Dayang rasa masih banyak lagi yang perlu Dayang belajar. Tak rasa pun diri ini sudah cukup sempurna serta banyak lagi benda yang perlu Dayang perbaiki. Jika pada masa hadapan saya kalah tidak mengapa kerana itu juga adalah satu proses pembelajaran buat saya,”ujarnya merendah diri.

Bersama pencipta lagu, Natasya dan penulis lirik Iman Imran(Kredit Gambar: Instagram Iman Imran @iman_imran75)
Bagi kategori Vokal Terbaik, Dayang membawa pulang wang tunai sebanyak RM12,000.
Mengulas tangisan yang mengiringi nyanyiannya sebaik saja lagu itu diumumkan sebagai pemenang trofi AJL, Dayang berkata situasi itu berlaku kerana hatinya tersentuh apabila terkenang suka duka yang dialami ketika mula-mula menceburkan diri dalam dunia seni yang penuh cabaran ini.
“Dayang menangis kerana Dayang sangat gembira dengan kejayaan malam ini. Entah mengapa, secara tiba-tiba pengalaman masa lampau menerpa dalam ingatan terutama ketika waktu Dayang mula-mula menceburi bidang seni
"Gembira kerana Dayang diterima dan segala usaha serta kerja keras selama ini terasa sangat dihargai,"katanya kepada Rojakdaily Kaw!

Meraikan kejayaan bersama teman-teman. (Kredit Gambar: Instagram Altimet @altimet)
Tidak dinafikan, persembahan pemilik nama Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini cukup memukau mereka yang hadir. Bukan saja menyihir penonton dengan vokal hebatnya tetapi juga dengan penampilan yang penuh bergaya hasil sentuhan pereka handalan, Datuk Rizalman Ibrahim. Si gorgeous ini muncul dengan jumpsuit rona kelabu corak petak berserta kot baldu yang tersangkut kemas di bahunya.
Dalam perkembangan lain, wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini sedang sibuk menyiapkan album terbarunya dan antara komposer yang turut menyumbangkan lagu adalah komposer Ajai dan Aubrey Suwito.