Skip to main content

Market Trends

Syamel Sambut Ulang Tahun, Rezeki Seni Semakin Melimpah Ruah

birthday-syamel-01.jpg

Sangkanya majlis yang dianjurkan oleh kelab peminatnya itu baru-baru ini hanyalah sekadar sebuah majlis gathering untuk dia beramah mesra bersama-sama insan tersayang yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini. Bagaimanapun alangkah terkejutnya Syamel apabila mendapat tahu majlis itu adalah untuk meraikan ulang tahunnya.

Lebih mengejutkan apabila mendapati majlis itu bukan saja dihadiri peminat tetapi juga rakan seperjuangannya yang sama-sama menimba ilmu di Akademi Fantasia 2015.

Kejutan harijadi buat Syamel (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)

“Pada mulanya Syamel ingat majlis itu dibuat untuk sesi bertemu peminat. Maklum sajalah, Syamel memang sudah lama tidak bertemu dengan mereka. Kalau jumpa pun sesekali bila Syamel ada show. Jadi bila peminat maklumkan nak buat majlis meet and  greet, saya pun bersetuju.

“Tak sangka pula bila sampai di sana, tiba-tiba saya dikejutkan dengan sambutan hari jadi oleh mereka. Rasa terharu semakin bertambah apabila teman-teman saya sewaktu di AF2015 iaitu Sufi dan Iqwan  turut hadir bersama-sama untuk meraikan saya. Iyalah, masing-masing sibuk dengan kerjaya seni mereka. Lepaslah juga rasa rindu bila dapat bersama mereka,”katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Menurut Syamel lagi, dia juga berterima kasih kepada kelab peminatnya Syamel Super FC  kerana terus memberi sokongan kepadanya walaupun kebelakangan ini banyak peristiwa sedih yang berlaku.

Sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi buatkan Syamel sangat terharu (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)

“Mereka banyak memberikan kata-kata semangat dan perangsang supaya saya terus berkarya serta tidak mudah putus asa. Mereka faham perasaan saya dan tidak cepat menghukum. Saya sangat bersyukur kerana mendapat peminat yang sangat memahami dan saya juga nak ucapkan terima kasih kepada mereka kerana bersusah payah menganjurkan majlis ini.

“Selalunya kalau ada majlis bersama peminat, Syamel memang serahkan pada ibu Syamel kerana dia yang selalu berurusan dengan kelab peminat. Nak harapkan Syamel, memang tak tahu apa-apa,”kata pemilik nama penuh Syameel Aqmal Mohd Fodzly sambil tertawa.

Seperti kebanyakan lelaki yang melangkah ke alam dewasa, pastinya keinginan untuk berpacaran itu ada. Justeru, Syamel turut ditanya apakah dia sudah bersedia untuk mempunyai teman wanita sama seperti lelaki yang sebaya dengannya? Atau si pendendang lagu Hidup Dalam Mati ini sebenarnya sudah mempunyai seseorang dalam hidupnya.

Saat diajukan pertanyaan nakal itu kepada si empunya diri, tergelak besar Syamel mendengarnya. Tanpa berselindung, dia mengakui masih single dan sedang mencari-cari calon yang sesuai untuk dijadikan teman wanita.

Bersyukur dengan kerjaya seni yang semakin bersinar dan berharap tahun 2017 'Lebih Sempurna' (Kredit Gambar: Alexander Hadreez Jr)

“Mana ada sesiapa dan saya masih solo. Adalah juga mencari-cari calon yang sesuai. Kriteria saya, biarlah dia seorang yang manja dan kalau berusia pun saya tak kisah. Asalkan serasi. Pun begitu, saya tidaklah terdesak untuk mencari teman hidup kerana fokus saya sekarang ini adalah untuk terus berjaya dalam bidang seni,”terang bekas naib juara AF2015 ini.

Dalam perkembangan lain, Syamel turut memaklumkan mengenai penyertaannya dalam program terbaru terbitan Astro Ria iaitu Duo Star. Program pertandingan nyanyian secara duet itu menyaksikan jejaka berkulit hitam manis ini berpadu suara dengan Ernie Zakri yang kini sedang hits dengan lagu Jangan Marah.

“Program ini banyak membantu Syamel untuk lebih yakin di atas pentas dan  Syamel bersyukur kerana mendapat pasangan duet yang serasi iaitu Ernie. Senang bekerjasama dengannya dan Syamel sangat mengagumi vokalnya yang hebat,”katanya yang kini sedang meletup dengan single keduanya berjudul Lebih Sempurna.

Terkini, Syamel baharu sahaja memenangi Anugerah Penyanyi Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) dan beberapa hari lalu memenangi Anugerah Lagu Paling Lama Dalam Carta Era untuk lagu Hidup Dalam Mati di Anugerah Digital Muzik Era 2016.

Must-Watch Video