Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Tahun Ini Che Ta Beraya Dengan 104 Pasang Baju Untuk Diri Sendiri

Mohamad Bakar
08/06/2017 03:00 MYT

Apa sahaja yang dilakukan bintang jelita, Rozita Che Wan atau nama mesranya, Che Ta ini pasti akan menarik perhatian ramai dan tak kurang juga mengundang kecaman netizen. Iyalah, kalau sudah namanya Che Ta. Tapi katakan apa sahaja, semua itu tak pernah mengundang kudis buatnya.

Kisah isteri kepada Zain Saidin ini menyediakan baju raya berapa pasang pun turut menjadi modal kecaman buat dirinya. Saban tahun, keterujaannya menyediakan baju raya banyak pasang itulah memang menarik perhatian untuk dikongsi.

Tahun lalu, Che Ta menyediakan 110 pasang baju untuk dirinya tiga beranak termasuk Zain Saidin (suami) dan anak perempuan mereka, Aaisyah Dhia Rana. Tapi untuknya hanya 30 pasang sahaja tahun lalu. Jumlah itu tidak termasuk lagi dengan dua anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulunya.

Dua tahun sebelumnya pula, pemilik syarikat By RCW itu  menyediakan 20 pasang sahaja untuk dirinya. Tapi jumlah baju raya yang disediakannya tahun ini pastinya akan buat ramai pembaca Rojak Daily Kaw! terjojol mata kerana dia memaklumkan menyediakan 104 pasang baju raya untuk dirinya sahaja.

“94 pasang daripada itu saya terima kerana menjadi duta jenama pakaian Minaz. Saya diberikan semua koleksi dengan rekaan dan warna berbeza yang dijual pada musim raya ini. Memang selama ini kalau sebut fasal penyediaan baju raya, ramai akan kecam saya. Tapi kali ini saya dapat semuanya secara percuma kerana bergelar duta. So jangan kecam saya pula kerana hal ini macam tahun terdahulu.

“Saya duta, so dapatlah baju ini semua.

“Aaisyah sendiri pun menerima 30 pasang baju raya dari Minaz kerana dia turut menjadi model bersama saya mempromosikan koleksi kali ini yang mereka gaya sedondon ibu dan anak perempuan,” katanya yang menjadi duta selama setahun bersama jenama Minaz.

Tambah pelakon Kiah Pekasam itu lagi, jumlah selebihnya ditempah sebanyak 10 pasang baju raya daripada pereka fesyen terkenal, Rizman Ruzaini.

“Tempahan itu saya buat sebelum dilantik sebagai duta Minaz lagi. Malah ketika mengerjakan umrah sebelum ini saya sempat beli kain di Tanah Suci Makkah untuk dibuat baju raya termasuklah yang dihantar tempahannya kepada Rizman Ruzaini. Untuk Aaisyah pun ada saya tempah sepasang dua kepadanya dengan Rizman Ruzaini.

“Malah saya juga seperti tahun kebiasaannya menempah baju Melayu untuk suami dan dua anak lelaki yang sama warna supaya dapat dipadankan dengan saya serta Aaisyah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tahun ini menyaksikan Che Ta mempunyai banyak program raya berbanding sebelumnya.

"Bulan puasa ini memang saya tak ada komitmen seni kerana penggambaran semua dilunaskan sebelum itu. Saya lebih banyak menyertai majlis berbuka puasa, penampilan untuk jenama Minaz serta Jakel selain sibuk dengan kegiatan promosi produk di booth dan karnival serata negeri mempromosikan produk By RCW.

“Saya pun lebih banyak berehat dan tak perlu bergegas ke lokasi penggambaran dari pagi hingga ke malam. Macam awal puasa beberapa kali juga sempat berbuka di rumah bersama keluarga dan selebihnya di luar.

“Bulan puasa ini pun saya ada muncul dengan drama di bulan puasa dengan Zain menerusi drama Santapan Rohani Sentapan Rogayah. Selebihnya program raya,” katanya yang raya pertama akan beraya di Gombak pada raya pertama dan raya berikutnya di Kedah.

#Raya Dari Hati