Penyanyi yang juga bintang Big Stage, Tajul terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika sedang dalam perjalanan menuju ke kelas program realiti tersebut di SS 2, Petaling Jaya.

Menurut Tajul, kemalangan yang berlaku pada pagi Selasa lalu melibatkan sebuah kereta dan empat buah motorsikal.

Tajul bersyukur terselamat

“Saya sebelum ini tidak pernah naik motor pergi kerja. Tapi disebabkan sudah terlewat ke kelas terpaksalah juga. Lagi pun, faham-faham sahajalah keadaan trafik dari Cheras ke Petaling Jaya.

“Nak dijadikan cerita, banyak pula halangan saya pagi itu. Motor saya kehabisan minyak sebelum kemalangan berlaku.

“Selepas dah isi minyak, hujan renyai dan saya teruskan juga perjalanan kerana mengejar masa. Tiba-tiba apabila sampai di satu selekoh saya nampak dua buah motor di hadapan terjatuh meyebabkan penunggang motor depan saya berhenti mengejut dan saya terlanggar dia.

“Walaupun dah tekan brek, namun jalan raya yang licin ketika itu menyebabkan motor tergelongsor ke hadapan dan berlanggar. Saya jatuh dan terguling ke atas jalan raya,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Sudah tiga kali 'bottom three'...Bagaimana nasib Tajul minggu ini?

Bagaimanapun Tajul bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius, cuma sakit di bahagian pinggang.

“Nasib baik saya pakai jaket, kalau tidak mesti calar-balar dan luka. Pinggang sahaja yang sakit mungkin kerana jatuh di atas jalan dan saya meneruskan perjalanan ke kelas seperti biasa.

“Alhamdulillah kesakitan tersebut tidak mengganggu vokal, cuma saya tidak dibenarkan menyertai kelas tarian dan dinasihatkan berehat oleh cikgu kareografi.

Tinggal tujuh...Undi di TikTok kalau tak nak bintang kegemaran tersingkir!

“Pada Ahad nanti, pergerakan saya (menari) mungkin akan terbatas sedikit, tetapi saya akan berikan yang terbaik dan memberi fokus pada nyanyian,” katanya.

Minggu kelima Big Stage bakal menyaksikan Tajul menyanyikan lagu Aman Aziz berjudul Sulit dalam tugasan bertemakan ‘Cover: Hot List Digital’.

Big Stage, program tajaan Vivo dan ditrendkan oleh TikTok ini bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).