Ketika namanya menjadi perhatian dek sensasi dikatakan menjadi punca pergolakan rumah tangga Aqasha dan isterinya, Baizura Sabri, Rita Rudaini lebih selesa membiarkan hal itu dibiarkan ketepi. Rojak Daily Kaw! percaya Rita mempunyai pendekatannya sendiri dalam menangani hal berkenaan. Rita dalam kenyataannya tidak mahu memanjangkan perkara itu.

Baru-baru ini nama Rita panas kembali dan menjadi mangsa kecaman netizen hingga dicop sebagai perosak rumah tangga orang lain. Sensasi itu dikatakan bermula selepas kedua-duanya membintangi drama terbitan Zeel Productions berjudul Misi Laksa Laksam yang akan disiarkan di TV3 tak lama lagi. Turut sama berlakon ialah Rasyha Rizrose.

“Saya tak ada apa-apa untuk dikomen. Saya tak kisah apa yang berlaku dan apa yang diperkatakan orang. Saya lebih suka fokus pada kerja saya,” tuturnya ringkas.

Ibu tunggal kepada dua anak bernama Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna itu kini memberikan tumpuan penuh kepada kerjaya seni. Rita juga buat pertama kali akan memikul tugas sebagai pengacara untuk anugerah besar, Drama Festival Kuala Lumpur pada 9 April depan di samping Sherry Alhadad dan AG Kool FM.

Acara itu bakal berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Saya sangat berbesar hati kerana diberi tanggungjawab untuk acara berprestij ini. Terima kasih pihak penganjur atas kepercayaan ini. Insya-Allah saya akan buat sebaik mungkin,” katanya.