Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
KAW

“Takkan Sebab Berniaga Sambal Bilis, Saya Ada Masalah Rumah Tangga!” - Hanez Suraya

Mohamad Bakar 28/03/2018 | 03:36 MYT
Hanez Suraya menepis dakwaan yang dia kembali berniaga termasuk menjual air tangan buatan ibu tersayang, Sambal Bilis Omak Den baru-baru ini kerana rumah tangganya yang dibina dengan Romie Razin Adilha sejak Mac 2015 bermasalah.

Lebih menguatkan dakwaan berkenaan Hanez juga sudah jarang memuat naik gambarnya bersama suami. Tak kurang juga yang melihat percutiannya baru-baru ini bersama teman baik tanpa kehadiran suami juga terus mengukuhkan persepsi negatif itu selain dirinya kini yang berdepan dengan masalah gangguan kebimbangan sejak beberapa tahun lalu.

Sambut ulangtahun perkahwinan ketiga.
“Tak adalah, saya percaya semua itu hanya andaian. Orang boleh terus berteka-teki. Nak tutup mulut orang termasuk netizen ini bukan perkara mudah. 14 Mac lalu saya sambut ulang tahun ketiga perkahwinan kami.

“Sebelum ini pun saya ada menjalankan perniagaan tudung dan koleksi pakaian sedia pakai di bawah jenama Everyday KL. Tak ada pula isu saya berniaga sebab rumah tangga berantakan,” kata ibu kepada si comel bernama Putri Aleesya berusia tiga tahun itu.

Tanggungjawab keluarga takkan dilupakan.
Bagi Hanez, sekalipun sudah mempunyai anak dan suami, jasa keluarga kandung sendiri tak dilupakan begitu saja.

“Saya rasa sebagai wanita, kita perlu ada pendapatan sendiri supaya mudah untuk merasa apa yang diingini. Sebelum berkahwin pun saya sudah terbiasa dengan belanja sendiri hasil berlakon. Lagipun saya ada tanggungan sendiri yang masih ditanggung. Saya perlu bayar cukai pendapatan, kereta. Saya juga ada ibu bapa yang nak ditanggung selain keperluan diri sendiri.

“Semua ini buat saya lebih kuat untuk cari rezeki. Sebagai anak sulung, tanggungjawab itu masih saya lihat perlu dilakukan. Walaupun sudah berkeluarga itu tidak bermakna jasa keluarga dilupa. Inilah masa untuk saya balas jasa mereka,” katanya.

Komersialkan perniagaan emak.
Menurut Hanez usahanya mengkomersialkan perniagaan Sambal Bilis Omak Den emak tersayang, Fadilah Abd Malik, 57, pun secara kebetulan baru-baru ini berbekalkan modal duitnya sendiri.

“Selalunya kalau perg bercuti atau mengembara memang Mama akan buat bekal Sambal Ikan Bilis untuk di makan di luar negara. Sebelum keluar hotel dapat makan roti dengan sambal ini pun kira cukup buat alas perut. Tak pun jadi bekalan stok di rumah. Kalau penat nak masak, dapat jamah roti atau nasi bersulam sambal ikan bilis pun sudah kira menyelerakan. Ia resipi turun temurun Mama saya.

Jualan menggalakkan.
“Dijadikan suatu hari itu, saya terdetik dalam hati kenapa tidak dipromosikan sambal itu di laman Instagram. Mana tahu boleh jana pendapatan sampingan. Tak sangka pula selepas saya promosikan di Instagram, ada pula yang terliur dan mahu mencuba. Jualan fasa pertama sambal ini Alhamdulillah mendapat sambutan menggalakkan.

Kelebihan air tangan ibu.
“Ibu saya pun sudah pencen dan hanya menjual perabot jati di Seremban. Jadi daripada ada masa terluang itu, bolehlah buat bisnes sambal ini,” kata Hanez.

Hanez memberitahu seperti kebanyakan sambal bilis lain yang dipromosikan, air tangan ibunya itu juga mempunyai kelebihan tertentu.

Boleh follow di Instagram.
“Saya percaya masing-masing ada air tangan mereka. Macam sambal emak saya ini dari ‘Nogori’. Pedasnya memang mengancam. Alhamdulillah setakat ini pun maklum balas yang diterima sangat menggalakkan.

“Saya dan adik pun giat mempromosikan sambal ini di Instagram. Insya-Allah kalau tiada aral, mungkin masa mendatang nak buat sambal bilis dengan jering serta petai juga. Kalau nak tahu lanjut boleh ikuti Instagram: @sambalbilisomakoden,” katanya.

#Selebriti #Selebriti