KAW
Tidak Peduli Kecaman Netizen
Ramona Zam Zam, 26, tidak peduli dengan kecaman netizen yang menuduhnya mengada-ngada kerana sering memuatnaik gambarnya dan suami, Rami Alaskar, 28, bercuti di luar negara di Instagramnya.
Jelas Ramona, dia tidak berniat menunjuk-nunjuk kebahagiaan rumah tangganya untuk tatapan umum tetapi setiap paparan di laman sosial itu adalah kehidupan sebenar yang dilalui sekarang.
“Saya memuatnaik gambar percutian kami dalam laman sosial sebagai kenangan di negara-negara yang pernah dilawati dan tiada niat langsung untuk menunjuk-nunjuk. Gambar-gambar itu juga untuk tatapan peminat saya dan kepada yang tidak suka, saya tak boleh buat apa-apa.

Sentiasa bercuti bersama suami. (Kredit Gambar: Instagram Ramona Zam Zam @ramona_zamzam)
“Syukur, rumah tangga saya bahagia dan Rami suami yang baik serta sangat memahami. Walaupun sudah setahun lebih berkahwin saya masih rasa berada dalam alam percintaan di mana kami sering menghabiskan masa bersama dan pergi bercuti apabila ada masa terluang. Ibu bapa dan adik-beradik Rami menetap di luar negara, jadi hanya saya yang ada di sisinya. Keadaan itu lebih mengeratkan lagi hubungan kami.
“Saya bukan jenis hipokrit, lain dalam gambar dan lain pula di luar. Kemesraan kami di dalam gambar, itulah juga situasi kami di luar.
Alhamdulillah, Allah SWT kurniakan saya seorang lelak yang sangat baik. Bukan terlalu memuji suami sendiri tetapi saya bahagia menjadi isterinya,” katanya.

Tidak mahu hipokrit, itu yang dipaparkan, itulah keadaannya. (Kredit Gambar: Instagram Ramona Zam Zam @ramona_zamzam)
Menurut Ramona yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Hola Hermosa, selepas berumahtangga dia lebih betah duduk di rumah, menunggu Rami balik kerja dan memasak.
“Zaman saya keluar bersuka ria dengan kawan-kawan sudah berlalu. Sebelum berkahwin saya sudah puas enjoy sehingga ibu pernah tegur saya tak ‘lekat’ di rumah. Sekarang, selesai penggambaran saja terus teringatkan rumah. Daripada tak berapa pandai memasak sekarang saya sudah boleh masak apa saja. Saya suka mencuba semua jenis menu kerana Rami suka makan dan dia bukanlah kaki komplen.
“Berdarah Palestin tetapi dia sudah lama menetap di bumi Malaysia kerana belajar dan terus bekerja di sini menyebabkan dia suka makanan Melayu. Rami pula pandai masak makanan Barat dan saya belajar daripadanya,” katanya.

Belajar memasak kerana suami sukakan masakan Melayu. (Kredit Gambar: Z.Nadzri)
Belum dikurniakan cahaya mata lantaran mereka menggunakan masa yang ada bercuti ke luar negara.
“Kami sudah menjelajah Eropah jadi tahun ini kami merancang bercuti ke pulau-pulau pula yang terletak di Indonesia dan juga dalam negara seperti Pulau Langkawi. Kami berdua suka pulau dan sedang mengambil lesen menyelam agar kami dapat menikmati keindahan di dasar laut pula,” katanya.