KAW

“Tiga Tahun Allah Pinjamkan Kamu Untuk Bahagiakan Kami Sekeluarga” – Safura Yaacob

Mya Amri 24/08/2018 | 03:14 MYT
Luahan rasa rindu pelakon dan penyanyi Safura Yaacob kepada arwah anak perempuanya, Nur Aisyah Mariam yang meninggal dunia pada 12 September 2011 menyentuh hati pengikut Instagram.
Safura yang berkongsi isi hatinya menerusi akaun Instagramnya semalam turut memuat naik foto anak kesayangannya itu.
Menurut Safura, walaupun sempat bersama hanya selama tiga tahun namun kehadiran Maryam cukup membahagiakan mereka sekeluarga.
Tiga tahun arwah Maryam bersama keluarga.
“23hb Ogos 2008... Lahirnya anak syurga ku ke dunia... 3 tahun menanti kehadiran mu... Dan 3 tahun sahaja Allah pinjamkan kamu untuk membahagiakan kami sekeluarga.
“Sesungguhnya Allah itu adalah sebaik-baik perancang... Kami redha dalam ketentuan mu Ya Rabb... Semoga Allah pertemukan kita nanti dalam Jannah Allah yang sudah tentu pasti... Mama rindu Al-Fatihah,” tulisnya.
Dalam pada itu, menerusi ruangan komen, ternyata luahan Safura itu membuatkan pengikutnya sebak dan mereka juga turut mengirimkan titipan doa buat arwah anaknya.
Terdahulu, Maryam merupakan anak pertama hasil perkahwinan Safura dengan pelakon Sahronizam Noor.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 3 tahun kerana demam yang berpanjangan. Selain Mariam, pasangan itu juga mempunyai tiga lagi cahaya mata, Yusoff Firdaus, 9 tahun, Zara Nur Aisyah, 8 tahun dan Ariana Sofia, 4 tahun.
Safura juga turut mempunyai dua orang anak lain iaitu Nurul Natasha, 24 dan Muhammad Daniel Khaqim, 18, hasil daripada perkahwinannya sebelum ini.
#Selebriti #Selebriti