Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Tuah Kahwin Doktor

Mohamad Bakar
30/05/2017 06:57 MYT

Untung jadi Lufya Omar kerana berkahwin dengan doktor kacak bernama Che Muhammad Hafiz Che Baharom. Jadi selepas disahkan hamil memasuki usia empat bulan, segala gerak geri dan tindak tanduknya diperhatikan suami tercinta yang sangat mengambil berat serta memahami.

Malah kerana sudah berbadan dua, Lufya atau nama penuhnya Lutfyah Sheikh Omar ini juga terpaksa menolak banyak tawaran seni dan lebih disarankan berehat di rumah. Kali terakhir Lufya terikat dengan projek seni ialah penggambaran program Romantika Astro di mana dia dan suami ke Thailand.

“Ada juga yang cakap bertuah berkahwin doktor kerana perhatian itu lebih diterima terutama ketika berdepan kesakitan atau hamil. Tak saya nafikan hal itu memang perhatiannya lebih kerana dia ada kepakaran.

“Malah suami pun tak benarkan saya buat kerja berat dan lasak lagi. Nak mop lantai pun tak diizinkan. Dia pun ambil tahu ubat apa yang saya ambil dan sarankan ubat itu dan ini. Pendek kata semua segilah dia jaga.

“Seronoknya saya juga dapat meluangkan masa dan beribadat bersama suami di bulan Ramadan,” katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Ketika ini kata Lufya, dia belum mengetahui jantina bakal anaknya.

“Ikutkan saya sendiri impikan anak lelaki dan suami pula inginkan anak perempuan. Pernah terjadi ketika kami singgah ke kedai kelengkapan dan baju bayi, suami saya akan meluru ke bahagian anak perempuan dan saya pula sebaliknya,” katanya.

Selain itu, Lufya turut sibuk mempromosikan koleksi raya sedondon lelaki dan perempuan di bawah nama Lulu and Ken.

“Sambutannya pun cukup menggalakkan. Lebih senang suami pun memberi sokongan. Dia pun siap jadi model untuk koleksi ini.

“Nama Lulu itu panggilan manja saya manakala Ken itu pula diambil daripada nama patung lelaki Barbie. Oleh sebab suami saya sering dianggap seperti Ken, maka di ambil nama berkenaan sebagai inspirasi,’ katanya.

#Rumah Tangga Selebriti