KAW
Tujuh Kali Menyertai Anugerah Juara Lagu Tapi Tak Pernah Menang, Stacy Tak Kecewa
Tujuh kali menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL), bermula dengan lagu Aku Stacy pada tahun 2009, Pakai Buang (2010), Jahat (2011), Pelangi Senja (2013), Bosan (2014), Gilalah (2015) dan Not For Sale (2016), rezeki memang tak pernah langsung menyebelahi Stacy untuk memenangi pertandingan berkenaan yang mengangkat martabat karya komposer tempatan.
Namun itu tidak langsung menjadi penghalang, beban atau masalah bagi isteri kepada Akim Ahmad itu untuk terus memberikan terbaik pada mendatang.

Malah ketika diundang membuat persembahan pembukaan pada AJL ke-32 baru-baru ini pun ada mulut jahat yang beranggapan semua itu seperti usaha mengambil hatinya yang tak pernah menang dalam pertandingan itu.
Tak kisahlah apa orang nak kata. Yang penting persembahan Stacy ketika mendendangkan lagu medley Aku Stacy, Bosan dan Pakai Buang dengan aksi lincah sampai menukar tiga persalinan baju selain turut menampilkan artis rap, Waris itu benar-benar memukau dan menaikkan mood penonton di rumah dan di Axiata Arena Bukit Jalil.

Apa kata Stacy mengenai hal itu kepada Rojak Daily Kaw!
“Orang di luar boleh terus berkata apa-apa. Masing-masing ada pendapat sendiri. Saya anggap belum rezeki saya lagi nak menang dalam pertandingan itu biarpun sudah tujuh kali masuk AJL. Menang kalah bukan isu. Tak menang tak apa, namun saya tetap berterima kasih kepada pihak penganjur, TV3 kerana peluang persembahan opening act dengan tiga lagu sendiri itu sudah jadi kemenangan dan penghargaan terbesar.

“Stage AJL itu sendiri sudah besar dan berprestij. Ia jadi tempat saya berkarya lebih. Saya sendiri suka berkongsi bakat di situ. Saya boleh explore lebih di AJL. Sebagai penyanyi saya percaya ramai yang mahu rebut peluang dan platform membuat persembahan di situ,” katanya penuh bangga.
Stacy dalam perkembangan lain juga bakal muncul dengan single berjudul Raja ciptaan Ezra Kong dan Hael Hussaini. Lagu berkenaan dirakamkan baru-baru ini di studio.
“Ikutkan lagu ini termasuk demo sudah dapat sebelum AJL 32 lagi. Tapi apabila masing-masing busy, ia tergendala seketika proses rakaman.

“Ia lagu berentak dance. Saya boleh kata heavy dance dan berbeza sedikit dengan lagu saya sebelum ini. Saya sendiri seronok merakamkan lagu ini kerana apabila saya dan Hael yang juga bergelar penyanyi bertemu, banyak benda dan idea kami boleh kongsi.
“Single ini dijangka keluar bulan depan. Saya harap ia akan keluar cepat. Malah ikut plan, nak keluar single itu dan video muzik sekali gus,” kata ibu kepada Bella dan Eshaal itu.