Baru minggu pertama menduduki kerusi juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017), pengacara nombor satu Datuk Aznil Haji Nawawi mula berasakan ada sesuatu yang tak kena pada kebanyakan peserta musim ini.
Sebagai seorang yang berpengalaman hampir tiga dekad dalam industri hiburan tanah air dan televisyen secara khususnya, Aznil berpendapat mereka yang bertanding masih berada pada takuk lama dan tidak banyak pembaharuan yang diketengahkan dalam persembahan mereka.
Advertisement
Kata bekas pengacara program Akademi Fantasia ini, walaupun sudah masuk minggu kelapan namun persembahan mereka masih belum mampu memuaskan hatinya.
“Saya agak terperanjat apabila persembahan kebanyakan peserta masih belum berada di tahap yang membanggakan. Sepatutnya untuk minggu kelapan ini, persembahan mereka mestilah hebat sekali gus memberikan juri cabaran dalam memilih peserta terbaik namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Kalau ikutkan hati, semua yang berada di tempat tiga ke bawah itu patut disingkirkan kerana mempamerkan persembahan yang tidak setara dengan pengalaman mereka,” luah Aznil kepada Rojak Daily Kaw! ditemui ketika ditemui pada majlis pelancaran #bazaarpaknil di Tempat Orang Lokal (Tol) Kompleks PKNS, Shah Alam, baru-baru ini.
Mengaku cukup tegas dalam menjalankan tugas sebagai juri, Aznil berkata dia mempunyai pendirian tersendiri dalam mengadili persembahan peserta.

“Prinsip saya adalah tidak mengambil kira langsung pendapat yang mengatakan kononnya satu-satu kumpulan itu pernah mempamerkan mutu persembahan yang bagus untuk minggu terdahulu.
“Setiap minggu mereka kena tunjuk yang mereka bagus dan ada kelainan dalam persembahan mereka.Dan tidak semestinya mereka yang pernah menjadi juara sebelum ini boleh mengekalkan kejuaraan mereka kerana ada yang saya lihat, persembahan mereka masih di takuk lama dan tiada pembaharuan.
“Kalau berterusan, tidak mustahil mereka ini bakal disingkirkan. Tunggulah Jumaat ini, saya akan buat satu kejutan untuk mereka,” katanya seakan memberi amaran.
Sementara itu mengulas usaha mewujudkan tapak perniagaan yang dinamakan Bazaar Paknil, personaliti itu berkata, semuanya bermula dengan kata berpagar #bazaarpaknil yang digunakannya di laman Instagram sejak empat tahun lalu.

“Idea ini wujud selepas menerima sambutan menggalakkan daripada penjual dan pembeli secara dalam talian di Instagram dengan kata berpagar #bazaarpaknil, iaitu hampir 15 juta ‘posting’. Berdasarkan sambutan diberikan, ia akhirnya memberikan keyakinan buat saya untuk membuka ruang perniagaan itu,” ceritanya.
Mula beroperasi sejak 15 Mac lalu, bazar terbabit menempatkan 35 vendor yang menawarkan pelbagai barangan dan perkhidmatan. Turut terbabit ialah golongan selebriti seperti Neelofa menerusi Naelofar Hijab, Zain Saidin (Zapatos) dan koleksi pakaian sedia dipakai oleh pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat. Aznil sendiri menjayakan acara itu dengan produk penjagaan wajah, Anell By Aznil Nawawi.