Sekali lagi Tunku Mona Riza melahirkan sesuatu yang sangat dekat di hati dan menyentuh semua deria rasa di dalam diri. Karya 12, platform yang dicipta Astro Citra untuk memberi peluang kepada enam pengarah hebat bersama enam protégé masing-masing berkarya, memberi laluan yang baik untuk Tunku Mona menzahirkan ‘Luar Biasa’.

Berdasarkan kisah benar.

Berdasarkan pada kisah benar pemenang pingat emas Paralimpik, Mohamad Ridzuan Puzi atau Dek Wan, abangnya Saiful atau Abang Pun serta keluarga mereka, Luar Biasa di tangan pengarah Redha ini menjadi satu kisah yang cukup segala rasa. Ketawa, teresak, bertepuk tangan, itulah yang dicurahkan penonton ketika hadir di malam pratonton di Dewan Eksperimen, Universiti Malaya.

Lima sebab kenapa anda wajib menonton Luar Biasa

Lakonan Idan Aedan memberangsangkan.

Luar Biasa Seorang Abang

Ini cerita Abang Pun. Luar biasa seorang abang yang masih belum mengerti banyak perkara, tapi dipertanggungjawabkan untuk menjaga adiknya yang kurang upaya. Tidak ada erti ‘kebebasan’ sebenar buat Abang Pun yang sentiasa diekori adiknya. Segala perasaan yang terpendam diluahkan dengan penuh teliti. Geram, marah, sayang, kecil hati dan segalanya dizahirkan dengan baik oleh Idan Aedan yang membawa watak Abang Pun. Dan dalam segala yang terbuku itu, hanya Abang Pun yang tahu dan faham dengan kehendak Dek Wan.

Lakonan luar biasa Sharolnizam Noor.

Luar Biasa Seorang Ayah

Ini cerita pengorbanan seorang ayah. Menerima segala yang ditakdirkan kepadanya tetapi terus berusaha untuk mencipta kebahagiaan kepada keluarganya. Di tangan pelakon Sharolnizam Noor, watak Encik Puzi mendahulukan keluarganya lebih daripada dirinya sendiri. Ada ketika, sanggup tidak makan tetapi memastikan keluarganya dapat makan di restoran. Tegas kerana rasa sayang yang tidak terbatas.

Faridah Bakiri sebagai emak tidak mengecewakan.

Luar Biasa Seorang Emak

Ini cerita tiada pilih kasih seorang emak. Penyabar tetapi adil. Kalau kedua-duanya bersalah, sama rata hukumannya. Tidak mahu duduk diam, berusaha membantu suami mencari pendapatan sampingan. Kebimbangan dirinya lebih kepada siapa yang akan menjaga Dek Wan suatu hari nanti, serta anak yang baru dikandungnya. Bimbang turut menjadi seperti Dek Wan. Luar biasa penyabarnya menjaga anak istimewa seperti Dek Wan.

Rykal lakukan tanggungjawab dengan cemerlang.

Luar Biasa Seorang Adik

Ini cerita seorang adik yang tidak pernah tahu dia kurang upaya. Seorang adik yang mahu menjadi seperti abangnya. Apa sahaja yang dilakukan oleh Abang Pun, itulah yang ingin dilakukan oleh Dek Wan. Sesusah mana sekalipun, dia tetap mahu mencuba. Dan Rykal membawakan watak sukar ini dengan cukup teliti dan setiap gerak gerinya sampai ke hati.

Tunku Mona setanding pengarah berkaliber lainnya.

Luar Biasa Seorang Pengarah

Ini juga kisah ketelitian seorang pengarah membawakan secebis kecil kisah hidup yang benar dan dihamparkan untuk tatapan umum di kaca tv. Tunku Mona sangat detail dengan momen-momen tertentu bukan untuk mencipta kesedihan, tetapi menjadikannya seperti yang asal. Beliau juga prihatin dengan persekitaran untuk menerapkan banyak nilai-nilai positif dengan cara yang halus dan lembut.

Luar Biasa di Astro Citra dan Mustika HD, 25 November ini.

Nah, inilah lima sebab kenapa anda tidak harus lepaskan peluang menonton ‘Luar Biasa’. Pastikan kalendar anda ditanda, 25 November 2017, pukul 9:00 malam di Astro Citra dan Mustika HD.