Skip to main content

Market Trends

“Ubah Untuk Sihat, Bukan Nak Tarik Perhatian” – Sherry Alhadad

sherry-01.jpg

Sekalipun sudah selesa bertubuh gempal selama ini, pengacara dan pelakon Sherry Alhadad akhirnya berfikir luar kotak selain mengikut nasihat doktor untuk mengamalkan gaya hidup sihat jika tidak mahu ditimpa penyakit berbahaya.

Malah apa yang dilakukannya kini hingga berat badan menyusut menjadi 108 kilogram dengan bantuan jurulatih kecergasan peribadi selain menjaga diet pemakanan tidak bermaksud untuk menarik perhatian orang. Sebaliknya atas keinginan diri yang mahu hidup secara sihat.

Berat sudah menurun.

“Jangan fikir saya kurangkan berat badan sebab mahu cantik dipandang mata. Saya sebaliknya tidak pernah ada perasaan malu bertubuh gempal. Bagi saya, cantik itu subjektif dan orang gemuk juga boleh tampak cantik jika pandai bergaya.

Kesedaran kini makin menebal.

“Apa yang saya lakukan kini adalah demi kesihatan diri. Saya tahu, memiliki tubuh besar terdedah dengan penyakit berbahaya. Ikutkan saya sudah memasang niat untuk menurunkan berat badan sejak di usia 12 tahun lagi. Bagaimanapun, semua itu hanya tinggal impian. Kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup sihat semakin menebal apabila usia meningkat dewasa,” katanya.

Perlu lakukan banyak tugasan.

Malah keputusannya itu juga didorong oleh hal kerja seni dilakukan.

“Kerja saya bukan hanya berdiri dan bercakap kerana ada masanya saya perlu menari dan berlakon. Sekarang, saya tidak lagi tercungap-cungap ketika mengadakan persembahan,” katanya.

Tidak peduli walau ada yang meragui.

Tambah Sherry, memang ada sesetengah rakan yang meragui kesungguhannya untuk menurunkan berat badan. Tak kurang juga yang mempersoalkan apakah dia mahu kehilangan identiti yang selama ini sudah terbiasa dengan dirinya.

Selesa tapi tetap perlukan perubahan.

“Saya sedar, sudah 34 tahun saya hidup sebagai seorang yang bertubuh gempal. Saya juga tertanya-tanya sendiri, adakah benar saya mahu meninggalkan ‘sisa hidup’ ini? Saya sudah selesa dengan keadaan tubuh seperti ini.

Belum ada penyakit serius.

“Jujurnya, saya sihat dan tiada sebarang penyakit ketika ini. Bagaimanapun, doktor yang sering melakukan pemeriksaan kesihatan memberitahu, mungkin saya ada tempoh tiga tahun lagi untuk hidup sihat begini,” katanya.

Must-Watch Video