Ketika ramai yang sedang bergembira meraikan Hari Kemerdekaan yang ke 60 semalam selain menantikan sambutan Hari Raya Korban yang diraikan hari ini, penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura pula berdepan dengan kesedihan.
Ibu kepada Ryan Sky Dalton akur dan reda dengan ketentuan Ilahi apabila bapa tersayang, Sheikh Hamzah Sheikh Mohamed pergi meninggalkan dia dan ahli keluarga serta sanak saudara lain.
Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua kira kira jam 2.40 petang semalam di atas sejadah dan dalam keadaan berpuasa di Shah Alam.
Arwah bapanya dikebumikan pada waktu Asar di Tanah Perkuburan Shah Alam.
"Adik beradik saya melihatnya meninggal di atas sejadah. Wajahnya amat tenang. Saya hanya sempat melihat arwah ketika dimandikan untuk solat jenazah. Saya sempat cium dahinya buat kali terakhir. Kami reda dengan suratan ini.
"Ustaz sendiri ada memberitahu ayah insan terpilih kerana meninggal dalam keadaan masih utuh menunaikan solat lima waktunya.
"Ayah sebenarnya sudah sihat. Cuma ajal datang tiba-tiba. Allah lebih sayangkannya," kata penyanyi lagu Awan Yang Terpilu itu.
Ning mengakui kehilangan bapanya meninggalkan impak besar.
"Saya kena kuat dan tabah. Apatah lagi ayah pergi sehari sebelum Hari Raya Aidiladha yang disambut hari ini," katanya.
Arwah Sheikh Hamzah meninggalkan seorang isteri iaitu ibu Ning, Satilah Abdullah dan sembilan orang anak.