KAW
Vokal Fazura Bertambah Baik Selepas Berlatih Sendiri
Bergelar selebriti popular yang lebih dikenali sebagai pelakon kemudian mencuba nasib dalam bidang nyanyian sememangnya memberi cabaran besar buat Nur Fazura. Percubaan pertamanya menerusi single, "Sayangi Dirimu", tiga tahun lalu disusuli lagu "Hancur Aku" bersama band Estranged nyata mengundang pelbagai komen peminat.
Ada berpandangan Fazura tidak mempunyai bakat menyanyi dan peminatnya pula tetap memberi sokongan padanya untuk mengasah bakat terpendamnya itu. Fazura bagaimanapun tidak putus asa sebaliknya, menunjukkan kesungguhannya untuk menjadi penyanyi profesional apabila kini secara rasmi menjadi artis di bawah label antarabangsa, Universal Music Malaysia.
Menariknya, kontrak Fazura bersama Universal selama tiga tahun bukan hanya fokus pada bidang nyanyian tetapi segala aktiviti seni termasuk menguruskan kontrak sebagai duta. Ini bermakna, Fazura adalah artis '360' pertama di bawah label ini dan sebagai langkah pertama, Fazura muncul dengan sebuah lagu duet terbaru, "Nothing Like Pag Ibig" bersama Jason Dy yang merupakan juara program The Voice Filipina musim kedua.
Bercerita rakaman lagu duet itu, Fazura menyatakan dia sangat menyukai lagu ini yang 'catchy' dan menjadi pengalaman menarik bekerjasama dengan Jason yang disifatkan seorang penyanyi berbakat, senang bekerjasama dan profesional.
"Rakaman lagu ini dibuat pada tahun lalu hanya mengambil masa selama setengah jam sebelum menjalani penggambaran muzik video selama 4 jam keseluruhannya. Menerusi lagu ini, vokal saya bertambah baik dibandingkan sebelum ini saya banyak salah 'key'. Apabila bersama Universal, saya belajar untuk cari 'tone' dan 'key' saya dan ia tidak susah langsung sebenarnya," katanya ketika sidang media Universal Music X Fazura di Kuala Lumpur, semalam.

Fazura bersama Pengarah Urusan Universal Music Malaysia & Singapura, Kenny Ong menandatangani perjanjian secara digital pada majlis Universal Music X Fazura di Kuala Lumpur, semalam. (Gambar: Sam Kassim - Facebook)
Tambahnya, bernaung sebagai artis Universal dianggap peluang besar yang sukar dilepaskan. Malah, ia menjadi langkah terbaik untuknya mengembangkan karier seni dan menimba pengalaman di luar negara."Saya tidak mengikuti kelas vokal tetapi dalam beberapa bulan lalu, saya ada mengikuti 'tips' dan berlatih sendiri. Apabila dah jumpa 'key', saya lebih senang nak menyanyi. Begitu juga ketika rakaman, saya perlu 'push beyond the limit'.
"Namun, saya masih belajar setiap hari memperbaiki bakat nyanyian dan bersama Universal, untuk menghasilkan album pada tahun ini memerlukan lebih motivasi dan kesabaran agar saya melaksanakannya lebih baik. Jika ada peluang bekerjasama di luar negara untuk menimba pengalaman, ia bukan saja di Manila tetapi di Indonesia, China dan Eropah," katanya.
Must-Watch Video