KAW
Wajah Baru, Pelantun Lagu-Lagu Hit
Kebelakangan ini semakin ramai penyanyi baru mendominasi stesen radio dengan lagu-lagu yang mendapat sambutan hangat pendengar. Kami senaraikan tujuh penyanyi wanita yang terjun ke industri muzik tanah air melalui program realiti, pertandingan mahupun pentas gig.
Hanie Soraya

Gambar: Utusan Online
Anak didik Faizal Tahir yang cukup terkenal dengan lagu "Hujung Dunia", "Rasa Sayang" dan "Pantas". Bakatnya mula dihidu setelah menghadiri ujibakat anjuran Faizal Tahir bagi mencari penyanyi naungan syarikatnya Faithful Music. Hanie yang ketika itu berusia 18 tahun mula mengeluarkan single pertama dua tahun kemudian. Hanie kini sedang meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan di Universiti Mansurah, Mesir.
Alessandra Diane Ampuria, protégé Dayang dalam program Mentor Legend 2014 yang hanya berjaya di peringkat saringan. Bakat Sandra telah dihidu syarikat rakaman dan pengurusan Indigital Sdn. Bhd yang menyuntingnya sebagai artis. Sandra langsung tidak menyangka lagu "Hey! Kau" yang dihasilkan Tam Spider dan lirik tulisan Iman Amran menjadi hit serta melonjakkan namanya.
Wani Kayrie

Gambar: Berita Harian
Penyanyi remaja yang popular dengan lagu "Jangan Jangan" ciptaan DJ Fuzz dan "Berteman Saja" ciptaan Zul 2By2 ini baru sahaja berusia 17 tahun. Namun pengalaman Wani dalam industri muzik tidak boleh dipertikai. Dia telah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sejak berusia enam tahun lagi dan pada usia 10 tahun, dia menjuarai program Kamilah Bintang terbitan Astro Ceria. Shazwani Abdullah, pelajar Sekolah Menengah Perempuan Sri Aman Petaling Jaya ini berada di bawah naungan syarikat rakaman Suria Record (SRC).
Nadira Adnan

Gambar: Instagram @tengkunadiraadn
Penuntut dalam bidang perubatan di salah sebuah universiti terkemuka Indonesia ini menggunakan peluang berada di sana untuk mengetengahkan bakat seninya. Tengku Nadira Munawarah Datuk Seri Tengku Adnan, anak keenam daripada lapan beradik ini dilahirkan di London pada 7 September 1997. Nadira merupakan anak kepada Datuk Seri Adnan Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan. Kerjaya seninya bermula dengan single pertama "Isi Hati" sebelum ditawar menyanyikan lagu ciptaan Ahmad Dhani, "Cinta Datang dan Pergi" duet bersama Al Ghazali (anak sulung Ahmad Dhani) dan "Love Will Find a Way" gandingan bersama Glenn Fadly.
Eleena Harris

Gambar: Mixocology
Pelantun lagu "Terlalu Rindu" yang disunting DJ Fuzz untuk dijadikan artis naungan syarikatnyam Mixology Music setelah menyaksikan persembahan gadis ini di pertandingan Finding Amazing Talent. Namun Eleena mengambil keputusan untuk keluar seketika daripada dunia muzik bagi menumpukan perhatian terhadap pelajarannya dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Selain boleh mencipta lagu, penyanyi yang turut berduet dengan Mark Adam untuk lagu "Hanya Dirimu" ini boleh bermain gitar dan piano dengan baik.
Diandra Arjunaidi

Gambar: Instagram @iamdiandra
Diandra Arjunaidi terkenal dengan lagu "Angkasa", "Bintang", "Sunyi", "Things We Don't Say", "Remember", "Happy", "White Lines", "You" dan "Kau & Diandra". Kesemua lagu dalam album pertama yang menggunakan namanya adalah gubahan dan tulisannya sendiri. Diandra mula bergiat aktif dengan mengadakan persembahan di pentas gig sejak tahun 2008 sehingga bakatnya dikesan oleh Yuna yang menawarkannya peluang bergelar artis pertama bernaung di bawah payung Yuna Room Records.
Amira Othman

Gambar: Metro Online
Penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) yang pernah melahirkan single berjudul "Sesaat Untukku", namun kurang diterima. "Hati-hati", single kedua dan runut bunyi drama Sha & Shah ternyata satu pertaruhan yang menaikkan nama graduan diploma jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dengan major dalam vokal klasik ini.
Must-Watch Video