KAW
Zamarul Dan Diana Dapat Cahaya Mata Perempuan
Selepas anak sulung mereka, Kashfi Haikal berusia tujuh tahun baru pasangan sama cantik sama padan, Zamarul Hisham dan Diana Rafar ini dikurniakan anak perempuan petang semalam.
Malah hajat anak sulung mereka itu menginginkan adik juga akhirnya jadi kenyataan. Kashfi yang selama ini juga berkali kali tanya bila adiknya nak ‘keluar’, kini tersenyum girang kerana sudah ada teman di rumah.
Bintang filem Susuk itu selamat melahirkan anak kedua mereka kira kira hampir waktu Asar petang semalam. Diana melahirkan anak perempuannya itu di Hospital Pakar DEMC Shah Alam. Bayi comel bernama Kayla Reysha Zamarul itu dilahirkan secara normal dengan berat 3.4 kilogram.
“Memang ketika saya sedang hamil, Kashfi juga berkali-kali tanya bila adik dia nak 'keluar'. Sampai siap dikira bulanlah. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan petang semalam.
“Lancar, biar saya bertarung nyawa hampir sejak dalam bilik pembedahan. Abang (merujuk kepada Zamarul) pun sempat melaungkan Azan dan kebetulan ketika itu juga masuk waktu Asar,” katanya memanjat kesyukuran.
Mengenai nama anak mereka itu, Diana memberitahu ia cetusan idea suaminya sendiri.
“Kayla bererti cantik. Manakala Reysha pula pula didefinisikan sebagai tawakal dan beriman. Semoga dia akan menjadi anak yang baik dan solehah,” katanya.
Ketika hamil anak kedua, pelakon, Diana mengakui mengalami alahan teruk hingga tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya berehat di rumah.
"Kehamilan kali kedua ini memang agak teruk jika dibandingkan ketika saya mengandung anak pertama. Ketika itu saya mabuk teruk hingga tak boleh buat apa-apa. Nak keluar rumah pun jadi segan. Saya jadi malas bersiap hingga terpaksa menolak tawaran sesi fotografi. Pendek kata semua jadi tergendala.
"Hilang mood, hendak raya ketika itu pun tak bersemangat. Tapi Alhamdulillah ruang saya ada di rumah itu, diperbanyakkan dengan membaca kalimah suci dan zikir penyejuk hati seperti surah Yasin. Kuasa kalimah suci ini amat besar hingga saya dapat lihat begitu mudah proses bersalin,” katanya.
Diana dan Zamarul berkahwin pada 16 Mei 2009. Setahun selepas itu mereka dikurniakan Kashfi.
Rumah tangga mereka pernah diuji. Pasangan ini pernah bercerai pada 15 Januari 2015. Namun mereka sepakat untuk bernikah semula pada 14 Mei tahun sama.