KAW
Zarul Umbrella Raikan Anak Yatim Atas Kapal Mewah
Lebih 100 peminat termasuk anak yatim dan kelab peminat Zarulians FC begitu teruja apabila berpeluang mengikuti percutian mewah sambil beramal dua hari satu malam menaiki kapal persiaran Starcruise Superstar Libra di Pulau Pinang, pada Sabtu lalu.
Pelayaran Sambil Beramal yang dianjurkan ZSM Mabrur Travel & Tours Sdn Bhd turut membawa bersama penyanyi Zarul Umbrella secara eksklusif bersama peminat dan juga anak yatim yang merupakan pelajar cemerlang yang terpilih dan ditaja sepenuhnya.

Zarul berkesempatan meluangkan masa bersama peminat dan anak yatim dalam satu percutian bersama. (Gambar: Eiylla Syaharith)
Presiden Zarulians FC, Faridah Kamin atau Chue berkata, kehadiran 14 ahli Zarulians FC yang datang dari Kuala Lumpur, Johor dan Singapura sebenarnya cukup gembira dan teruja apabila berpeluang bercuti sambil beramal dan lebih istimewa lagi kehadiran Zarul Umbrella sendiri.
"Kehadiran kami semua datang bercuti beramai-ramai membuktikan tanda sokongan padu yang tidak berbelah bagi buat Zarul sejak dari dulu hingga sekarang dan ia cukup mengembirakan dan menghiburkan apabila dapat berkaroake, makan dan beramah mesra bersama-sama," katanya.

Peluang bercuti bersama Zarul membuktikan sokongan peminat terhadap penyanyi itu. (Gambar: Eiylla Syaharith)
Bagi Pengarah Urusan ZSM Mabrur Travel & Tours Sdn Bhd, Marlina Ramly berkata, percutian mewah sambil beramal ini merupakan program amal yang pertama dianjurkan sebagai salah satu usaha murni syarikat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Disamping bercuti, program amal ini juga turut menghulurkan sumbangan kepada golongan orang-orang yang memerlukan dan kali ini 10 anak yatim yang merupakan pelajar cemerlang dari beberapa sekolah sekitar Sungai Petani, Kedah terpilih.

Zarul bersama ahli kelab peminat tidak lupa meraikan anak yatim dalam satu acara istimewa. (Gambar: Eiylla Syaharith)
"Syukur Alhamdulillah program pertama yang diadakan ini mendapat sambutan yang cukup meriah dan memberangsangkan apabila hampir 100 orang peminat turut serta dan paling istimewa impian untuk membawa anak yatim akhirnya menjadi kenyataan. Insha Allah, Mei depan ZSM Mabrur Travel & Tours Sdn Bhd akan membawa artis, Siti Nordiana pula ke destinasi indah bersama peminat di Pulau Pinang," katanya.
Must-Watch Video