KAW
Zizan Razak: Tentang Cinta, Abang Long Fadil 2, Drama Dan Filem
Dikenali sebagai pelawak terkenal tanah air, Zizan Razak yang muncul dengan filem Abang Long Fadil 2 sejak 24 Ogos lalu diajak berbicara lebih serius mengenai soal masa depan termasuk soal hati dan survival seninya.
Genap 33 tahun sejak 15 April lalu, kiranya usia itu sudah dilihat layak untuk dia menunaikan tanggungjawab sebagai suami. Biar beberapa kali gagal dalam percintaan, Zizan atau nama penuhnya Mohd Razizan Abdul Razak juga berhak untuk terus mencintai dan dicintai.

“Bukan tak ada yang berkenan di hati ketika ini. Cuma tak tahu lanjutan hubungan itu bagaimana kesudahannya. Saya hanya mampu berdoa.
“Cuma saya sentiasa percaya Tuhan sudah meletakkan benda yang terbaik dalam hidup saya hingga kini. Belum ada rezeki berkahwin, tapi ada hal lain yang sudah membahagiakan saya dalam hidup ini. Memang tak mampu meramal bila diri ini akan berkahwin. Semua itu ketentuan-Nya.
“Dalam islam pun suruh kita solat Istikharah contohnya dalam mempertimbangkan hal jodoh. Selebihnya kita berdoa. Saya sentiasa berdoa dipertemukan dengan bakal isteri yang sesuai dan memahami diri ini seadanya,” katanya.

Zizan yang ketika ini juga masih terus terpalit dikaitkan dengan Mira Filzah berkata, dia terbuka dengan apa yang dilalui kini termasuk takdir hidupnya yang belum bertemu wanita yang layak dijadikan isteri.
Zizan percaya, jodohnya pasti tiba apabila sampai masanya nanti.
"Apakan daya kerana semua itu di luar kawalan diri. Dalam hal ini, saya sentiasa percaya Allah sudah menetapkan jodoh terbaik. Andai ditanya, saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami.
"Pada usia sekarang, sudah tiba masanya untuk saya memikirkan soal jodoh dengan lebih serius. Saya hanya mampu merancang, namun semua itu rahsia Allah. Sebagai hamba, saya hanya mampu berdoa supaya impian ini menjadi kenyataan," katanya. 

Beralih cerita sayap seninya, Zizan mengakui cita-cita asalnya memang mahu menjadi bintang filem.
Lebih sedekad di persada seni, dia lebih selesa memilih medium layar perak untuk berkongsi bakat berbanding kaca TV untuk drama episod panjang.
Mungkin juga itu cara atau gaya Zizan mengekalkan eksklusifnya. Lagipun platformnya muncul di kaca TV sudah ada termasuklah menerusi program lawak mahupun mengacara. Jadi percaturannya dilihat menjadi saat ini.
“Bukan saya nak kata berlakon drama itu tak eksklusif. Ada naskhah drama yang bagus. Cuma saya berasakan ada pelakon lain yang sudah stabil dan selesa di kaca TV, jadi biarkan mereka meneruskan legasi itu.
“Sementara saya pula boleh fokus pada filem. Peluang yang ada depan mata saya tak boleh lepaskan. Sekurang-kurangnya kalau dapat berlakon dua ke tiga filem setahun pun okey.
“Tapi kalau dapat berlakon satu filem yang bagus dan berkualiti pun sudah memadai,” katanya.
Kali terakhir jejaka kelahiran Terengganu ini muncul dalam drama panjang kira-kira tujuh tahun lalu menerusi cerita Chapalrela. Beberapa bulan lalu dia ada muncul menerusi telefilem Jula Juli Bintang Cinta arahan Osman Ali bergandingan dengan Mira Filzah.

“Ikutkan boleh dikira beberapa kali saja saya berlakon drama. Saya memang nak jadi bintang filem. Tapi tak bermaksud saya menolak untuk muncul TV. Jika ada naskhah yang baik dan kena pada masanya, saya masih mahu berlakon di TV.
“Tapi kini untuk berlakon drama yang memakan masa penggambaran lama sebenarnya ia memenatkan. Sebagai contoh sekalipun saya berminat nak bergandingan dengan seorang pelakon wanita yang digemari. Sekalipun dapat, tapi kalau dua tiga bulan asyik menatap wajahnya saja boleh jadi muak. Saya sudah tak boleh lalui situasi penggambaran panjang sebegitu.
“Tapi berbeza dengan filem, kalau makan masa lama pun saya rasa berbaloi. Pengalaman berlakon dengan Shaheizy Sam menerusi filem Polis EVO contohnya. Bagaimana kami kali pertama bekerjasama dan tengok muka dia hari-hari pun saya rasa bangga melihat hasilnya hingga filem itu mendapat sambutan hebat,” katanya.

Filem Abang Long Fadil 2 diterbitkan Skop Productions Sdn Bhd dengan kerjasama Astro Shaw Sdn Bhd ini turut membariskan pelakon seperti Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Achey, Shuib Sepahtu, A Galak, Wak Doyok dan Tania Hudson. Ia diarahkan Syafiq Yusof.
Malah Zizan turut merakamkan lagu runut bunyi berjudul Kaki Licik untuk filem berkenaan dengan mengambil inisiatif terbabit bersama teman seperjuangan lain seperti kumpulan Viral dan Lawa Nie Geng.
Must-Watch Video