AirAsia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, telah melancarkan Program Freedom Flyer pertama di dunia untuk menjadikan pengumpulan Mata Ganjaran BIG AirAsia lebih mudah, cepat dan lebih baik untuk tetamu setia syarikat penerbangan itu.

Dikendalikan oleh Program Kesetiaan BIG AirAsia, program kesetiaan sedia ada yang ditambah baik ini berdasarkan sistem status keahlian unik yang ditentukan oleh kekerapan penerbangan tetamu - lebih kerap mereka terbang dengan AirAsia, lebih cepat mereka boleh mendapatkan Mata Ganjaran BIG, tanpa mengira jumlah perbelanjaan tambang mereka.

Sistem baharu ini memperkenalkan empat status bermula dengan status keahlian Red untuk para tetamu yang terbang sebanyak 13 kali atau kurang untuk penerbangan jarak dekat sehala dalam 12 bulan, diikuti dengan status Gold, Platinum, dan seterusnya Black bagi para tetamu yang terbang 50 kali atau lebih dengan AirAsia.

Bagi setiap RM10 yang dibelanjakan, Ahli Red boleh mendapatkan sehingga 20 Mata Ganjaran BIG, Gold sehingga 40, Platinum sehingga 70 dan Black sehingga 120.

Penerbangan jarak jauh dan Fly-Thru dikira sebagai dua penerbangan jarak dekat sehala untuk tujuan pengiraan status, menjadikan pengumpulan mata ganjaran lebih banyak dengan dengan penerbangan AirAsia X.

Work hard. Steady your heart. Head-on your dreams. . Hope you had a wonderful Tuesday! #FlytheWorldChampion #AirAsia . Photo credit: @sydneyspotter23

A post shared by AirAsia (@airasia) on

Program Freedom Flyer ini telah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Program Kesetiaan BIG AirAsia Dato' Eddy Leong pada hari Jumaat di ibu pejabat AirAsia RedQ di Sepang, Malaysia.

Pengasas bersama AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Saya berbesar hati untuk memperkenalkan Program Freedom Flyer pertama di dunia ini. AirAsia menyokong kebebasan. Ketika Datuk Kamarudin dan saya memulakan AirAsia, kami mengimpikan kebebasan perjalanan udara supaya penerbangan tidak lagi menjadi satu kemewahan yang dinikmati oleh golongan tertentu sahaja. Kami ingin memberikan kebebasan untuk terbang kepada semua. Program kesetiaan baharu dan yang telah ditambah baik ini adalah langkah serta usaha kami untuk memberi kebebasan kepada para tetamu serta mendapatkan lebih ganjaran.”

Pengasas bersama AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, “Ini adalah cara kami menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada tetamu setia yang memilih untuk terbang bersama kami. Dengan menjadikan AirAsia X sebagai pilihan penerbangan untuk perjalanan jarak jauh, tetamu kami boleh mencapai status tertinggi dalam Program Freedom Flyer ini dua kali lebih pantas serta menikmati pelbagai ganjaran dan keistimewaan sambil meneroka rangkaian kami merentasi Jepun, Australia dan Timur Tengah, sehingga ke Hawaii."

Ketua Pegawai Eksekutif Kesetiaan BIG AirAsia, Dato' Eddy Leong berkata, "Program Freedom Flyer kami adalah program kesetiaan pertama di dunia yang direka khusus untuk semua orang. Tidak kira siapa anda dan apa yang anda lakukan, Program Freedom Flyer ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih kerana anda setia bersama AirAsia. Ini adalah untuk anda semua.”

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Program Freedom Flyer atau mendaftar keahlian, layari laman web Program Kesetiaan BIG AirAsia yang telah dinaik taraf di airasiabig.com atau muat turun aplikasi mudah alih Program Kesetiaan BIG AirAsia, di mana ahli sedia ada juga boleh menyemak status keahlian mereka.