Anak Kita Cerminan Diri Kita, Lelaki Ini Kongsi 17 Tips Jaga Anak Ramai
Sering bermain di fikiran kita, bagaimana sebuah keluarga besar dengan bilangan anak yang ramai boleh hidup bahagia tanpa ada masalah sosial? Ada ibu bapa yang berkongsi tips dan rahsia bagaimana untuk menjaga keluarga dengan jumlah anak yang ramai.
Seorang pengguna Facebook, Baharuddin Mohamed telah berkongsi tips bagaimana dia dan isterinya menjaga sembilan orang anak yang terdiri daripada umur 16 tahun sehingga dua tahun. Enam daripada sembilan anaknya adalah perempuan. Dia dan isterinya menguruskan perniagaan kecil bersama. Mendapat hampir 9,000 perkongsian di Facebook, ini tips yang dikongsi oleh Baharuddin:
1. Minta anak-anak siapkan semua beg sekolah dan kerja sekolah mereka sebelum tidur.
2. Jangan tidur lewat.
3. Kejutkan mereka dengan kemanjaan, jangan marah pagi-pagi, akan kacau mood mereka.
4. Doakan mereka, tengok mata mereka masa hantar mereka ke sekolah. Anak-anak akan mudah dapat ilmu apa yang cikgu ajar disekolah.
5. Maafkan anak-anak kita.
6. Anak yang besar dan remaja, solat berjemaah subuh dan minta dia membaca Al-Quran semuka dua.
7. Tujuh dari sembilan anak kami sudah bersekolah. Isteri saya hantar anak-anak 10 kali sehari berulang-alik. Itu pun dah habis masa banyak. Tetapi anak-anak membesar depan mata kami.
8. Kami tak ada pembantu rumah. Dari memasak dan kerja rumah memang isteri saya yang buat. Air tangan ibu ni penting. Bila memasak, berdoalah pada Allah supaya anak-anak kita ni dilembutkan hati dan menjadi anak yang soleh.
9. Solat berjemaah penting di rumah. Selepas itu buat usrah seminggu sekali. Dalam tazkirah selalulah nasihatkan anak-anak. Lebih penting bila mereka sudah dewasa. Waktu usrahlah masa paling sesuai, tenang lepas solat untuk menasihatkan anak-anak.
10. Selalulah mengaji bersama dengan anak-anak. Buat majlis kecil yassin setiap malam khamis. Jika saya oustation, isteri saya yang akan pimpin atau anak lelaki saya yang sulung.
11. Anak-anak yang tahun peperiksaan pastikan mereka mengaji satu muka sehari. Ini salah satu usaha untuk mereka mudah fokus dan ilmu mudah dapat.
12. Sebagai ibu bapa jagalah setiap perkataan yang keluar dari kita. Bersabarlah dan jangan berkecil hati dengan anak-anak jika mereka membuat salah. Inilah biasanya mulanya anak-anak derhaka.
13. Bila anak derhaka, Allah tak berkat hidup dia. Jadinya nanti susah. Kita ibu bapalah yang jangan cepat melatah. Biasanya saya yang garang pada anak-anak. Tetapi dalam beberapa tempoh saya akan minta maaf dan terangkan perkara sebenar.
14. Peluk dan cium anak-anak seberapa kerap yang boleh walaupun mereka sudah dewasa. Doa dalam hati supaya mereka menjadi anak yang soleh. Peluk mereka kerana pelukan itu ada aura positif untuk mereka dan mereka rasa selamat.
15. Bila solat malam, solatlah berdekatan dengan anak-anak. bila mengaji, bacalah dengan kuat sedikit. Walaupun mereka masih kecil, lama-kelamaan mereka faham dengan menjalani kehidupan secara islam.
16. Saya suka tengok anak-anak bila tidur. ia menjadi satu kepuasan sebelum saya masuk tidur. Kalau boleh ciumlah mereka masa mereka tidur dan hembuskan sesuatu yang baik di telinga mereka.
17. Bila kita selalu berjauhan dengan anak-anak dengan urusan kerja, bila teringat tu kita sedekahkanlah mereka dengan Al-fatihah dan berdoa agar mereka dilindungi dengan segala rintangan yang berat.