Jika sebelum ini kami pernah menyiarkan artikel tentang wakil tunggal Malaysia berentap di Asia's Next Top Model musim ke-6 (AsNTM6) , Rubini Sambanthan, kali ini kami berpeluang untuk bertemu empat mata dengan model tinggi lampai ini.
Bagi Rubini, 27, memasuki pertandingan pencarian model terkenal dunia ini pada awalnya merupakan satu keputusan yang sukar. "Sebelum menyertai musim ke-6 ini, saya terlebih dahulu layak untuk ke musim ke-3 namun terpaksa menolak kerana ketika itu saya sedang sambung mengajian dan menyertai Miss International Malaysia pada tahun 2014. Apabila tak berkesempatan menyertai AsNTM musim ke-3, saya tidak sangka apabila rezeki berpihak untuk saya menyertai musim ke-6 ini."

Advertisement
Namun bagi Rubini, memilih untuk membawa nama Malaysia di AsNTM6 bukan keputusan yang mudah. Baru kehilangan abang tersayang akibat masalah deprasi beberapa bulan sebelum menjalani penggambaran benar-benar meruntun jiwanya. Menurut Rubini, "sukar untuk saya tinggalkan ibu bapa lepas kehilangan abang. Ibu saya pula jenis yang suka telefon jadi bila masuk pertandingan ini, kami tak benarkan guna telefon sama sekali. Saya cukup risau fikirkan keadaan ibu. Pada masa yang sama saya rasa bersalah sebab tinggalkan ibu."

"Mendiang abang adalah seorang yang paling rapat dengan saya sebab kami membesar bersama. Bila saya tolak untuk masuk AsNTM musim ke-3, dia selalu mengusik bilalah dapat tengok saya keluar TV apabila dia menonton AsNTM musim ke-4 dan ke-5. Sekarang bila saya dah masuk AsNTM musim ke-6, dia dah tiada untuk menonton saya di dalam TV. Saya sangat terluka apabila mengenangkan ada seseorang yang sangat menyokong dan ternanti-nanti saya menyertai AsNTM kini tidak dapat melihat saya menyertainya", jelas Rubini lagi.

Sokongan kuat dari keluarga, teman lelaki dan rakan-rakan yang membuatkan Rubini kuat untuk menyertai AsNTM6. Pengalaman memasuki AsNTM6 sememangnya berbeza dengan pengalaman modelling biasa yang dilalui oleh Rubini. "Masuk pertandingan ini ibarat penerokaan diri sendiri", ujarnya.
Selepas Tuti menjadi peserta tunggal mewakili Malaysia pada AsNTM musim ke-4, Rubini meneruskan peluang Malaysia untuk berentap di persada Asia secara bersendirian. Jika sebelum ini ada dua peserta dari Malaysia iaitu Shikin Gomez dan Alicia Amin, tekanan dan perasaan bangga saling bergandingan apabila mengetahui semasa hari pertama berkumpul, dia merupakan seorang sahaja peserta dari Malaysia.

Menjalani penggambaran di Bangkok, Thailand, juri tetap iaitu Cindy Bishop dan Yu Tsai banyak memberikan pengalaman. "Cindy seorang yang juri yang senang bekerja dan peramah. Bergelar model, Cindy juga banyak mengajar dan pada masa yang sama, suka melakukan kebajikan. Bagi Yu Tsai pula, kalau penonton melihat Yu Tsai sebagai seorang yang garang, memang begitulah dia. Dia bersikap profesional dan tegas dengan apa yang dilakukannya sepanjang penggambaran ini."

Dengan tema Beyond Limits bagi musim ke-6 kali ini, Rubini sedaya upaya membawa nama Malaysia dan mempamerkan negara Malaysia dengan sebaik mungkin. Penonton boleh menjangkakan pelbagai perkara yang mengejutkan berlaku. Asia's Next Top Model musim ke-6 akan bersiaran bermula 22 Ogos ini, 9 malam di saluran Astro Fox Life (711) dan Fox Life HD (722)