Tolak tepi burger di restoran makanan segera, burger Ramly 'tepi jalan' sememangnya menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Pelbagai pilihan boleh didapati antaranya benjo, burger ayam, burger daging mahupun burger special bersalut telur ini nampaknya bukan sahaja digemari warga kita, orang luar terutamanya di New York juga gila dengan burger Ramly ini.

Menerusi satu tweet video dari Insider, sekumpulan anak Malaysia diberi nama The Malaysia Project membuka gerai menjual burger daging bersalut telur di bandar New York. Menggunakan patty buatan sendiri, daging dimasak diatas kuali leper, dipecahkan telur, campuran serbuk kari, mayonis dan perasa dan diletakkan daging diatas telur lalu dibalut. Burger ini cukup mendapat sambutan warga New York sehingga ia dijual pada harga USD12 (RM50.70) sebiji.


Menerusi video berdurasi 1 minit 30 saat itu, pemiliknya, Calvin Leong, menjelaskan di New York mereka menggelarnya burger gaya Malaysia. "Saya makan burger ini ketika kecil dan ia boleh didapati di tepi-tepi jalan di Malaysia. Burger ini pedas dan penuh berperisa". Burger ini turut enak dinikmati bersama jus durian belanda yang turut dijual di gerai tersebut.

Terliur kami tengok video burger gaya Malaysia dari The Malaysia Project ni. Video dari Insider itu juga telah menerima 27,000 retweet dan 16,000 likes! Terus buat kami nak nikmati burger Ramly special hari ini!