Lifestyle
Dalam Santun Ada Gagahnya, Ini Yang Anda Perlu Tahu Tentang Pakaian Puteri Perak
Berlangsungnya Konsert Siti Nurhaliza On Tour di Indonesia, Singapura dan Malaysia baru-baru ini, mata tak berkedip melihat cantiknya busana yang dipakai oleh Dato' Sri Siti Nurhaliza sewaktu slot irama Malaysia.
Persalinan Puteri Perak daripada fabrik mewah songket itu diangkat dan nampak sangat kena digayakan apabila Dato' Sri Siti lincah menari.
Dari konsert pertama di Indonesia, konsert kedua di Singapura dan konsert ketiga di tanahair sendiri, busana rekaan Rizman Ruzaini itu berjaya membuatkan pakaian asli kita mendapat perhatian ramai.
Pakaian Puteri Perak, merupakan pakaian tradisi negeri Perak yang terdiri daripada baju, kain samping dan selendang. Ia begitu unik sekali kerana menggunakan seluar panjang bagi menggantikan kain sarung.
Apa yang anda perlu tahu tentang busana tradisional negeri Perak ini?
Sejarah pakaian Puteri Perak
Seabad yang lalu, pakaian Puteri Perak dianggap romantik. Mungkin ia disebabkan bentuknya yang mengikuti bentuk badan dan menggunakan fabrik bersulam atau benang emas membuatkannya tampak eksklusif. Pakaian tradisional ini turut menyerupai pakaian wanita Acheh.
Pakaian yang dipakai oleh golongan Diraja ini sering digayakan ketika hari perkahwinan. Ketika bersanding, orang lelakinya akan memakai baju Melayu cekak Musang, kain samping ikatan Perak, berbengkung dan kepala berhias tengkolok.
Bagi wanitanya pula, pakaian Puteri Perak daripada songket bunga tabur atau jong sarat, berseluar, berselendang sedondon dan tidak dilupakan, pending, cucuk sanggul dan gelang kaki.
Namun kini, pakaian Puteri Perak sudah boleh dipakai oleh wanita kebanyakkan. Semakin lama, pakaian tradisional ini diberikan nafas baru untuk menepati citarasa semasa. Kini, aksesori keris sering dikenakan bersama untuk menambah sisi pahlawan.
Dipakai ketika bersanding
Jika dahulunya dipakai oleh kaum kerabat sahaja, kini ramai wanita terutamanya wanita yang berasal dari negeri Perak mengabadikan pakaian Puteri Perak ketika majlis perkahwinan mereka.
Antara dua pakaian Puteri Perak yang mendapat perhatian ramai adalah apabila majlis berinai dan bertunang selebriti Syatilla Melvin bersama pasangannya Shaheizy Sam serta pereka fesyen tersohor, Ruzaini Wan Jamil dan isterinya.
Syatilla nampak lembut dalam persalinan Puteri Perak songket berwarna merah jambu. Selendang belakang wajib ada bagi pakaian Puteri Perak untuk menutup bahagian punggung agar kesantunan wanita terpelihara.
Terserlah keanggunan Syatilla dengan persalinan ini lengkap dengan perhiasan kepala.
Pereka fesyen Ruzaini Wan Jamil turut memilih pakaian Puteri Perak untuk digayakan oleh isterinya ketika majlis persandingan mereka. Kedua-dua mempelai tambah berseri dengan persalinan songket hijau firus.
Isterinya, tambah elegan dengan pakaian Puteri Perak yang berstruktur, terletak elok di tubuhnya. Dibalas dengan perhiasan berwarna perak, pengantin perempuan nampak jelita dengan pameran sisi gagah.
Kostum nasional ke pentas dunia
Buat anda yang tidak tahu, pakaian Puteri Perak pernah dua kali diperagakan di peringkat antarabangsa. Kedua-duanya dipertontonkan ketika sesi kostum tradisional di pentas Miss Universe tahun 2008 dan 2013.
Levy Li Su Lin, Miss Universe Malaysia 2008 tambil elegan dengan pakaian Puteri Perak. Menggunakan tiga warna yang berbeza untuk pakaian, kain samping dan selendang, perhiasan kepalanya yang sarat menambahkan lagi seri ratu cantik ini.
Pada tahun 2013, Miss Universe Malaysia, Carey Ng mewakili Malaysia ke Krasnogorsk, Moscow dengan persalinan Puteri Perak serba hitam. Hasil sentuhan pereka fesyen Syomir Izwa, songket hitam berbenang emas ini benar-benar melambangkan seorang wanita moden yang gagah namun masih berpegang pada tanah asalnya.
Patutkah tradisi pakaian Puteri Perak ini diteruskan oleh mellinnial?
Sudah semestinya! Keunikan pakaian tradisional harus dikekalkan agar generasi muda dapat mengenali tradisi dan asal-usulnya. Jangan pernah berhenti untuk menggayakan setiap persalinan indah ini kerana warisan negara harus dipelihara. Ditambah dengan platform media sosial, budaya ini akan terus hidup untuk dikenang selamanya.
Tahniah diucapkan kepada Dato' Sri Siti Nurhaliza kerana terus-menerus memilih pakaian Puteri Perak untuk digayakan pada konsert berskala besar hingga pakaian ini semakin dikenali.
Bringing the sexy back to the traditional Puteri Perak costume ? Queen of serving looks ❤ pic.twitter.com/Wc92JfZaHU— ? Alan Al Padat ? (@IniAlannn) March 17, 2019
Buat bakal pengantin, pakaian Puteri Perak pasti membuatkan hari bersejarah anda tambah unik dan kekal diingati. Kalau bukan kita yang teruskan, siapa lagi?
Must-Watch Video