Lifestyle
Dicampak Ke Dalam Air Dengan Kaki Tangan Diikat, Bukan Semua Orang Boleh Jadi PASKAL
Pastinya ramai sudah tahu mengenai kemunculan filem PASKAL yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Namun mungkin tidak ramai yang tahu maksud disebalik perkataan PASKAL itu sendiri.
Secara teorinya PASKAL adalah singkatan Pasukan Khas Laut yang turut merupakan pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
PASUKAN ELIT NOMBOR SATU!
Mula beroperasi pada 1 Oktober 1980 unit ini dianggap sebagai sebuah pasukan elit nombor satu di Malaysia kerana terkenal dengan sistem persenjataan, taktikal dan kelengkapan yang jauh lebih moden daripada pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).Misi PASKAL pula terdiri daripada operasi di pantai, pengintipan dan perisikan khas, letupan khas dan sabotaj. Hebat bukan?
Malah Kementerian Pertahanan mengistiharkan PASKAL sebagai pasukan utama dalam operasi memerangi keganasan di laut (kapal dan minyak). Selain itu PASKAL turut bertindak sebagai Pasukan Tindakan Pantas dalam apa jua situasi.
PERLU KUAT MENTAL DAN FIZIKAL UNTUK JALANI LATIHAN PASKAL
Persoalannya apakah yang membuatkan PASKAL ini digelar pasukan elit No.1 di Malaysia? Apakah pula latihan-latihan terpaksa dihadapi untuk menjadi anggota PASKAL?Kami senaraikan latihan asas mereka dan anda jangan ingat latihannya biasa-biasa kerana dalam beratus yang cuba, mungkin hanya segelintir kecil yang mampu melepasi ujian ditetapkan. Latihan pula dibahagikan kepada beberapa fasa berikut:
- Fasa 1 - Peringkat Kem
- Fasa 2 - Peringkat Hutan
- Fasa 3 - Peringkat Paya
- Fasa 4 - Peringkat Laut
- Fasa 5 - Peringkat Pelarian dan Pelolosan
Mereka perlu lulus sebelum ke peringkat/fasa seterusnya:
UJI CERGAS FIZIKAL DARAT
#1 Lari sejauh 6.8 kilometer (km) dan masa untuk lulus pula di bawah 32 minit. Kurang daripada selamat tinggal lah!#2 Tekan tubi hanya dalam masa 1 minit 30 saat. (Minimum 50 kali)
#3 Sit Up dalam masa 1 minit 30 saat - Lulus tidak kurang dari 41 kali
#4 Pull Up (tanpa henti) - Lulus tidak kurang dari 9 kali
#5 Flutter Kick (tanpa henti) - Lulus tidak kurang dari 100 kali
#6 Eight Count Body Builder (dalam masa 4 minit) - Ini antara latihan berat terpaksa dilalui pasukan tentera. (Lulus tidak kurang dari 26 kali)
#7 Panjat tali di ketinggian 7 meter tanpa menggunakan kaki!
#8 Panjat tali menggunakan Ascender di ketinggian 10 meter - Lulus dengan masa tidak melebihi 60 saat.
UJI CERGAS FIZIKAL AIR
Ini antara ujian penting untuk menjadi seorang PASKAL. Bak kata mantan Panglima PASKAL Laksamana Pertama Jamalludin Mohd Saman, anggota PASKAL yang dipilih perlu mempunyai naluri ‘waterborn’ (berasal dari air).#1 Renang sejauh 3.2 km di laut (berpakaian renang tempur) - Masa lulus di bawah 64 minit.
#2 Renang di kolam:
- Gaya Bebas 500 meter - Masa lulus di bawah 10 minit
- Gaya Kuak Tepi 500 meter - Masa lulus di bawah 12 minit
- Gaya Campuran 500 meter (200 meter kuak dada, 200 meter kuak tepi dan 100 meter Gaya Bebas) - Masa lulus di bawah 12 minit
Hakikatnya ini hanya sebahagian daripada latihan peringkat awal. Ada lagi cabaran dan lihat lebih mencabar termasuklah Combat Drown Proofing.
IKAT TANGAN, IKAT KAKI, KEMUDIAN DICAMPAK KE DALAM AIR
Kalau nak tahu, Combat Drown Proofing adalah ujian air yang mana pelatih akan diikat kaki dan tangannya sebelum mereka dicampak ke dalam kolam renang.Difahamkan ujian terbabit adalah persediaan sekiranya mereka dicampak musuh hidup-hidup ke dalam laut. Ujian ini melatih mereka untuk melepaskan diri.
Apapun hanya terbaik di antara terbaik saja yang akan berjaya menjadi anggota PASKAL.
Kalau nak tahu lagi bagaimana sebenarnya PASKAL ini, anda perlu tonton filem PASKAL yang bakal ditayangkan September ini.
Must-Watch Video