Bila sebut Turki, ke mana arah tuju anda nak pergi? Kami senaraikan destinasi wajib pergi buat para pengembara yang bercadang mahu ke Turki.

1) Antalya

Gambar: www.myvillaturkey.com

Empayar Lycia meninggalkan kesan yang amat mendalam di Antalya dan hampir separuh daripada senibinanya dipengaruhi dengan budaya Lycia. Antalya menempatkan pantai yang memukau disamping pasir yang memutih. Anda juga boleh melawat ke beberapa bandar-bandar purba di Antalya antaranya Xanthos, Letoon dan Arykanda yang membolehkan anda mendaki untuk sampai ke puncak dan permandangan yang menakjubkan sedia menanti anda di atas.

2) Cappadocia

Gambar: www.bookingcenterturkey.com

Cappadocia cukup terkenal dengan geologi bukit-bukit serta batu-batu yang menjulang tinggi. Topografi yang menarik ini sepadan dengan sejarah manusia disini apabila mereka telah lama menggunakan batu lembut sebagai tempat perlindungan bawah tanah dan meninggalkan desa dengan corak berselerak yang menjadikan senibinanya cukup cantik. Disini juga terdapat tempat penginapan yang unik disertakan dengan panorama indah untuk anda.

3) Izmir dan Aegean Utara

Gambar: www.izmir.edu.tr

Pengaruh Yunani sangat kuat di rantau ini. Kemana sahaja anda pergi, anda akan dapat melihat budaya Yunani diterapkan disetiap sudut. Izmir adalah bandar ketiga terbesar di Turki dimana kota metropolis ini sememangnya sibuk namun kaya dengan hasil peninggalan sejarah. Jika ada masa terluang, anda boleh melawat Ayvalik dan Pulau Bozcaada yang menawarkan pelbagai variasi makanan dan muzik buat para pelancong.

4) Istanbul

Gambar: commons.wikimedia.org

Istanbul adalah sebuah bandar terbesar di Turki, menggabungkan Eropah dan Asia yang merentasi Selat Bosphorus. Kota lama ini adalah cerminan pelbagai empayar yang pernah bertapak suatu ketika dahulu antaranya Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah. Uniknya di Istanbul, pelancong boleh melihat pelbagai jenis tempat-tempat keagamaan seperti masjid, gereja dan istana lama yang ada rahsianya tersendiri antaranya Hagia Sophia, Istana Topkapi, Masjid Sultan Ahmed serta Gereja St. Savior.

Terbaik dari Turki:

1) Hidangan

Gambar: www.destination360.com

Apa lagi kebanggaan Turki selain budaya dan sejarah? Makanannya. Salah satu perkara terbaik yang ada di Turki adalah hidangan Turki yang cukup digemari semua. Baik dari sarapan, makanan tengahari, minum petang mahupun makan malam, semuanya tersedia untuk para pelancong. Jika kesana, anda harus cuba sarapan ‘Van’ yang mengandungi roti simit, keju, telur, tomato, buah zaitun, jem dan madu. Tidak ketinggalan kebab Turki yang senang didapati di tepi-tepi jalan. Anda juga harus menikmati buah-buahan tempatan dan hasil tenusu mereka yang cukup segar.

2) Kebudayaan

Gambar: en.m.wikipedia.org

Masyarakat Turki amat berbangga dengan warisan mereka. Dengan kedudukannya diantara benua Eropah dan Asia, menjadikan Turki unik dengan kepelbagaian budaya. Kayakan diri anda dengan maklumat menarik mengenai keanggunan seni bina, hamam ataupun tab mandi, kain sutera, tarian serta belajar serba sedikit mengenai bahasa Turki.

3) Landskap

Gambar: matadornetwork.com

Kejutan besar buat pengunjung yang pertama kali ke Turki adalah keindahan landskap yang menempatkan birunya air laut dan gunung-ganang terbentang. Anda boleh melakukan aktiviti laut serta daratan yang pastinya membuatkan hari anda berlalu tanpa sia-sia. Malamnya, isi waktu anda dengan berkunjung ke pasar-pasar serta kelab-kelab malam yang menjadi nadi hidupan malam di sana.