Nama Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim dengan kejayaannya menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai ketua projek NASA tular di laman sosial baru-baru ini.

Menerusi laman Twitter @my_negaraku, bukan calang-calang orang boleh dapat penghormatan sebegitu kerana Dr Wan Wardatul Amani Wan Salim menjadi rakyat Malaysia pertama melancarkan satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) ke angkasa lepas!

Memetik temubual Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim atau lebih mesra dipanggil Dr. Amani di dalam Utusan, beliau mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan elektrik, kejuruteraan bioperubatan dan kejuruteraan biologi dengan pelbagai disiplin yang cemerlang serta keupayaan bekerja dan berinteraksi dengan mereka dalam bidang lain menyebabkan beliau terpilih mengetuai projek SporeSat, sebuah projek NASA Small Satelit yang dilancarkan pada tahun 2014.

Kini, Dr. Amani adalah Penyelidik Bioteknologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkap Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UIAM.

Berkongsi rahsia kejayaan Dr. Amani yang membolehkan dia berjaya sehingga ke hari ini, minat yang mendalam amat dituntut dalam apa juga yang anda lakukan. Dari minat dan tekad inilah akan menghasilkan kejayaan terutamanya dalam bidang yang dikatakan sukar seperti sains dan teknologi.