Semakin tampak segak pada usia 42 tahun, kunjungan personaliti bola sepak dunia, David Beckham di Kuala Lumpur, baru-baru ini tentu saja membangkitkan rasa teruja ramai.

Melihat kelibat Duta Global AIA itu melangkah ke pentas utama Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), bergema jeritan kira-kira 2,000 pengunjung program Kempen AIA Healthy Living.

Keluarga adalah segalanya.

Beckham diterbangkan AIA Malaysia ke negara ini bagi memenuhi jadual kempen jelajah Asia Pasifik selepas singgah di Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

Mahu tahu bagaimana suami kepada Victoria atau Posh Spice Girls ini menjaga kesihatan dan mengekalkan daya tarikan fizikalnya?

Masa terluang dihabiskan dengan anak-anak.

Terdahulu, menerusi perkahwinannya dengan bekas anggota Spice Girls yang dikahwini pada 1999 itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Brooklyn, Romeo James, Cruz dan Harper Seven.

Nah, di bawah adalah rahsia bapa kepada empat cahaya mata itu memenuhi jadual harian yang sentiasa padat dengan acara.

Gemar aktiviti lasak.

Berjalan Kaki

Aktiviti rutin menghantar anak ke sekolah kebiasaannya dilakukan hanya dengan berjalan kaki. Bukan sekadar berpeluang, hubungan bapa-anak juga menjadi lebih erat kerana mereka banyak berbual apa jua perkara sepanjang perjalanan.

Memasak

Menyediakan hidangan keluarga dengan memasak sendiri di rumah membolehkannya memilih bahan terbaik untuk keluarga. Sudah tentu bekas pemain Manchester United, Real Madrid dan LA Galaxy itu cuba melebihkan sayur-sayuran. Akuinya Posh dan anak-anak menggemari air tanggannya terutama hidangan ikan yang disediakan.

Beriadah sekeluarga.

Berlari

Rutin sejak mula menceburi dunia bola sepak pada usia seawal 11 tahun sudah menjadi amalannya sejak dulu berbanding senaman di gymnasium. Beckham lebih selesa berlari sambil menghirup udara segar.

Mendaki

Setiap kali cuti musim panas di Los Angeles, mereka sekeluarga gemar menikmati pemandangan indah dengan mendaki bukit. Aktiviti menyeronokkan itu kebiasaannya dilakukan dua kali seminggu.

Nikmati Makanan

Peluang mengembara ke negara orang demi tuntutan tugas membuatkannya dapat mencuba makanan tradisi sesebuah negara. Cuma, pengambilan sesuatu hidangan adalah secara berpada-pada. Dalam kunjungan ke Kuala Lumpur kali ini dia mencuba nasi lemak dalam tiga versi. Lazat pujinya!

Elak stress.

Ganti Makanan Segera Dengan Versi Sayuran

Sebagai bapa kepada kepada anak-anak yang masih kecil dan ada yang sudah meningkatkan remaja membuatkan Beckham kadang kala kalah dengan permintaan mereka. Seperti kanak-kanak lain mereka mahu menikmati makanan segera terutama kentang goreng. Akuinya, kebiasaannya dia akan menggantikan kentang dengan sayuran lain dan memasaknya sendiri di rumah hasil daripada resipi yang dipelajarinya.

Elak Stress

Sentiasa mengimbangi kehidupan sebaik mungkin dengan mengelakkan stress atau tekanan dengan melakukan perkara yang digemari. Lebihkan masa berkualiti bersama keluarga kerana itu dirasakan sebagai terapi paling bagus.

Senaman

Bukan untuk badan cantik. Sentiasa ingat bahawa bersenam bukan sekadar untuk tubuh badan atau fizikal sempurna. Paling utama adalah berasa cergas dan bertenaga.