"Ikutkan perancangan saya nak hantar emak dan ayah pergi umrah tahun depan tetapi rancangan Allah SWT lebih hebat apabila mereka "dijemput" ke Tanah Suci lebih awal", kata Khai Bahar, 23, yang kini mengerjakan umrah bersama ibu bapanya.

Menurut anak keempat daripada enam beradik itu, sejak dia kecil lagi, ibu bapanya menyimpan hasrat mahu ke Tanah Suci tetapi belum ada rezeki.

Antara ahli rombongan.

"Sehinggalah saya dewasa dan menjadi penyanyi, impian itu tidak pernah terpadam.

"Jadi dengan nikmat rezeki yang Allah SWT limpahkan pada saya, saya tunaikan hasrat mereka.

"Lebih bermakna saya dapat pergi bersama. Saya sangat bahagia melihat kegembiraan emak dan ayah dapat melihat kaabah di depan mata mereka," kata Khai.

Tak 'lalu' makan.

Dia juga lega kerana mereka berdua sihat dan dapat mengerjakan umrah serta ibadah lain dengan sempurna. Cuma bapanya tak berapa lalu makan ketika di Madinah.

"Biasalah, mana nak sama dengan masakan di rumah. Saya pun rasa tak berapa "sedap badan". Mungkin kurang rehat dan ada yang minta saya minum air zam zam banyak-banyak.

Ingin balas jasa ibu bapa.

"Sementelah lagi bukan senang nak minum air zam zam terus dari telaganya di Makkah. Kadang air zam zam yang dibawa balik, rasanya sedikit berubah," katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Selepas ini, Khai berhasrat mengumpul wang untuk menghantar ibu bapanya mengerjakan haji pula.

"Itu impian saya seterusnya. Dek kerana doa mereka, saya berjaya dan dapat hidup selesa jadi sebagai anak, inilah masanya saya membalas jasa mereka.

Ingin kumpul wang beli rumah untuk ayah dan mak.

"Adik-beradik lain pun menjaga emak dan ayah dengan baik tetapi saya yang ada rezeki lebih ini akan cuba memenuhi keinginan mereka.

"Emak dan ayah juga masih menyewa rumah lalu saya juga sedang mengumpul wang untuk membelikan rumah untuk mereka," katanya.

Azadan dan Suffian turut serta.

Sebelum mengerjakan umrah, terlebih dulu mereka bertiga "makan angin" di Istanbul kerana Khai menyertai Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care di sana. Khai adalah ikon kembara jiwa itu yang turut disertai Azadan Rabbani dan Suffian Saujana.

Tetap Khai Bahar yang sama.

Anak kelahiran Negeri Perlis Indera Kayangan itu seorang yang sangat merendah diri. Khai baru saja menang dua anugerah pada Anugerah Planet Muzik yamg diadakan di Singapura baru-baru ini.

"Saya sama saja seperti dulu. Kenapa tiba-tiba saya nak jadi sombong dan bongkak kerana kemenangan itu adalah anugerah popular.

Kembali bekerja selepas pulang ke tanah air nanti.

"Jadi kemenangan itu adalah kerana sokongan peminat. Kejayaan saya hari ini kerana mereka dan tak mampu saya untuk membalasnya," katanya.

Sekembalinya dia daripada umrah, Khai akan terus sibuk dengan kerjaya seninya dan akan merakamkan single keempatnya.