Skip to main content

Market Trends

[EKSKLUSIF] Khai Bahar Di Kembara Jiwa Dan Kemanusiaan Syria Care

khai-istanbul-01.jpg

Kali kedua penyanyi lagu Bayang, Khai Bahar, 23, menjejakkan kaki ke Istanbul, Turki, namun kembaranya ke negara itu kali ini lebih bermakna apabila dia bercuti bersama ibu bapanya sekali.

Percutian ini juga agak berbeza kerana dia menyertai rombongan Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care dan selesai saja program di Istanbul, rombongan meneruskan perjalanan mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah.

Kali kedua ke Istanbul.

Advertisement

Perjalanan kembara jiwa itu bermula 31 Oktober lalu dan rombongan akan pulang ke tanah air pada 12 November ini.

"Saya amat terharu apabila Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Ustazah Sakinah melantik saya sebagai ikon kembara rohani ini kerana dari segi ilmu saya masih cetek namun saya berbesar hati menerima tawaran itu kerana saya mahu belajar.

Terharu dipilih sebagai ikon.

"Ia juga adalah secebis amal jariah saya terhadap sesama hamba Allah SWT dan untuk misi sebesar ini, ia bukanlah kerja main-main, perlu ada kekuatan minda dan fizikal.

Bantuan kepada pelarian Syria.

"Menerusi pembabitan saya dalam misi mengumpul dana dan pelbagai bentuk sumbangan lain seperti peralatan sekolah serta bekalan pakaian musim sejuk yang akan menjelang tidak lama lagi, ia adalah perjuangan yang sangat besar demi memberi sinar hidup baru kepada pelarian Syria terutama anak-anak yatim yang mencari perlindungan di Istanbul.

Hilang rasa penat.

"Syukur, rakyat Malaysia sangat prihatin dan sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh NGO seperti Syria Care," katanya kepada Rojak Daily Kaw!

Dengan jadual kerja seninya yang padat tanpa sempat berehat dan terpaksa pula menempuh perjalanan yang panjang iaitu lebih kurang 13 jam dalam penerbangan, tubuhnya yang lesu dan matanya yang layu terasa segar tatkala dia terpandang wajah-wajah mongel dan comel di depan matanya.

Perlukan perhatian.

"Saya jenis tak boleh tidur sesuka hati di mana-mana. Saya tetap perlukan tempat tidur yang selesa ada katil dan bantal. Namun saya gagahi juga dan sebaik saja menatap wajah-wajah comel itu, saya sedar ada insan yang memerlukan perhatian.

Menumpang kehidupan di negara orang.

"Mereka menjadi yatim piatu apabila ibu bapa mereka terkorban dalam peperangan yang meletus di Syria. Belum puas merasa kasih sayang orang tua, mereka terpaksa pula menempuh satu perjalanan yang sukar untuk mencari kehidupan baru di negara orang," katanya.

Turut disertai Azadan Rabbani dan Suffian Saujana.

Pertemuan rombongan kembara jiwa seramai 35 orang dengan anak-anak yatim Syria itu diadakan di tempat penginapan iaitu di Hotel Vialand.

“Biarpun pertemuan itu cuma sebentar namun sempat juga kami bermain game dengan mereka, menjamu makan dan menghiburkan mereka dengan nyanyian. Kembara jiwa itu turut disertai Azadan Rabbani dan Suffian Saujana.

Sempat menghiburkan dengan nyanyian.

"Ada juga yang merajuk kerana tak dapat main sama, maklum sajalah mereka kecil lagi untuk menghadapi dugaan hidup ini, jadi hati mereka mudah tersentuh.

"Melihatkan usaha Syria Care ini, saya bersedia bila-bila masa saja untuk bersama mereka pada kembara yang seterusnya," katanya.

Lakukan bukan kerana nama.

Dalam pada itu, Khai juga menjelaskan dia juga bersedekah kepada mereka yang memerlukan di negaranya sendiri namun tak perlulah dia menggembar-gemburkan perkara itu.

"Apa yang saya lakukan bukannya 'nak mencari nama' tetapi sudah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu sesama manusia tanpa mengambil kira mereka di mana," katanya.

Sempat beraksi 'model' ketika lawatan di Istanbul.

Selama empat hari berada di Istanbul, Khai dan rombongan juga melawat Al Fateh Institute For Sharia' & Arabic Science dan Madrasah Hadarah.

Mereka juga dibawa ke beberapa tempat menarik dan pusat membeli belah di Istanbul.

Pusat tahfiz itu dibiayai Syria care yang turut dibuka kepada pelajar Islam lain.

Must-Watch Video