Feeling New Zealand Di Sabah!
Terletak di kaki Gunung Kinabalu, Desa Cattle Dairy Farm menawarkan permandangan yang cukup berharga buat pencinta alam. Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu dan pergunungan indah di Kundasang, Desa Cattle Dairy Farm harus ada dalam destinasi wajib kunjung anda apabila ke Sabah.
Tarikan utama sudah semestinya ladang lembu yang berjaya menghasilkan 900,000 liter susu setahun. Dengan keluasan seluas 199 hektar, tempat ini menawarkan susu yang cukup berkualiti tinggi dan segar dari ladang! Jangan terkejut jika anda ternampak pasangan merpati dua sejoli sedang merakamkan gambar kenangan perkahwinan mereka disana kerana Desa Cattle Dairy Farm juga sering menjadi lokasi bagi sesi fotografi perkahwinan.
Jika ke sana, ambil peluang ini untuk memberi makanan kepada anak-anak lembu dan kambing. Makanan bagi haiwan-haiwan ini ada dijual kepada pengunjung. Untuk lebih merasai tempat ini, nikmati produk tenusu keluaran Dairy Farm ini antaranya susu segar, gelato, aiskrim, pudding, yogurt dan keju dengan harga yang sangat berpatutan.
Pastinya rugi jika tidak membawa pulang buah tangan, anda juga boleh membeli cenderamata berupa T-shirt, poskad, manget peti ais, pelekat dan sebagainya yang ada disediakan di kedai cenderamata disana. Pahatkan memori indah anda di Desa Cattle. Pastinya anda akan terpukau dengan keindahannya yang sangat menakjubkan.