Tular di media sosial apabila notis Bahasa Inggeris di Pusat Penerangan Pelancongan Perak baru-baru ini mengandungi kesalahan.

Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata mengikut laporan awal dari Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kecuaian tersebut dilakukan oleh salah seorang kakitangannya yang bertugas di pusat terbabit.

Menurut laporan Astro Awani, Datuk Seri Zambry telah menelefon Datuk Bandar Ipoh berhubung perkara ini dan penjelasan yang diterima adalah kakitangan tersebut menggunakan 'Google Translate' bagi menterjemah ayat tersebut ke dalam Bahasa Inggeris untuk nampak 'international'.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap kakitangan perlu memaklumkan pada ketua masing-masing sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan atau apa-apa saja tulisan untuk dipamerkan pada umum.

"Jangan memandai dan buat pandai kerana masalah bahasa ini elok ditanya dulu, kalau tak pasti rujuk dahulu kerana ia akan menjadi tatapan ramai serta melibatkan imej kita. Dah berulang kali saya sebutkan ini, segala memo atau sebagainya perlu dilakukan dalam bahasa Malaysia sekiranya mahu dalam Bahasa Inggeris, ia akan ditulis bersama-sama Bahasa Malaysia.” kata beliau lagi.

Dalam masa sama, beliau juga memberi peringatan segala urusan rasmi kerajaan negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seharusnya dilakukan dalam Bahasa Malaysia.

Sumber: Astro Awani