Fuh, demam The Avengers: Infinity War makin berlarutan. Sana sini orang sibuk bercakap pasal filem tersebut. Pada yang dah tengok, tahniah! Kalau yang belum, cepat-cepat terjah panggung wayang berhampiran anda.

Sembang pasal filem, pernah tak anda terfikir di Malaysia ini ada beberapa jenis panggung wayang? Jika selalunya anda menonton di panggung wayang paling biasa iaitu standard hall, apa kata anda cuba tonton filem kegemaran di lapan lagi jenis panggung untuk pengalaman yang berbeza.

1. Standard Hall

Twin seat di hall biasa.

Hall paling banyak ditawarkan oleh panggung-panggung wayang di Malaysia, hall ini juga menjadi kegemaran ramai orang kerana harganya yang murah. Hall ini dilengkapi beberapa barisan twin seat di belakang dan banyak single seat di hadapan.

Harga: RM6 - RM30

2. Beanie Hall

Beanie Hall di TGV.

Hall ini agak istimewa kerana anda boleh menonton wayang sambil baring dan santai. Dinamakan sebagai Beanie Hall kerana kerusinya merupakan kerusi beanie, ia boleh didapati di panggung wayang TGV terpilih.

Harga: RM50 - RM60 (sepasang tiket)

3. Atmos Hall dan Auro Hall

Hall yang mementingkan kualiti bunyi.

Mahukan pengalaman menonton wayang dengan kualiti bunyi? Anda boleh ke Atmos atau Auro Hall di GSC ataupun di MBO terpilih. Seorang pengguna Twitter, @salam_zhr berkongsi pengalaman menonton wayang di dalam Auro Hall berkata, "Auro ni menggunakan sound sebanyak 3 lapisan. Bawah, tengah dan atas. Memang best tengok wayang dengan sound yang macam ni. Memang feel."

Harga: RM13 - RM30

4. Premier Hall

Harganya masih berbaloi untuk privasi.

Buat yang nak pengalaman eksklusif tetapi dengan harga yang tidak terlalu mahal, anda boleh cuba Premier Hall. Setiap kerusi meja kecil untuk anda letak makanan, minuman dan sebagainya.

Harga: RM12 - RM38

5. Gold Class

mewah dan selesa.

Lebih kelas berbanding Premier Hall, Gold Class yang boleh didapati di GSC ini memberi layanan istimewa pada anda. Tidak seperti hall biasa, Gold Class hanya menempatkan beberapa kerusi sahaja. anda juga akan diberikan selimut ketika menonton wayang dan ada butang servis jika anda mahukan sebarang perkhidmatan.

Harga: RM58 - RM80

6. MAXX, Big Screen dan IMAX Hall

Nak kepuasan sebenar, tonton di IMAX.

Biarpun anda menonton di IMAX, MAXX ataupun Big Screen, ketiga-tiganya mempunyai ciri yang sama. Apa yang seronoknya menonton wayang di dalam hall ini, skrinnya yang terlalu besar melengkung, memberi kepuasan yang maksimum untuk semua kaki wayang. Berbaloi kerana harganya tidak terlalu mahal.

Harga: RM12 - RM 30

7. D-BOX Hall

Kerusi yang boleh bergerak.

D-BOX Hall boleh didapati di GSC mempunyai kerusi yang boleh bergerak-gerak mengikut apa yang terjadi di dalam filem. Pergerakkan kerusi atau Motion FX boleh diubah sama ada anda nak kuat ataupun perlahan.

Harga: RM25 - RM35

8. Kecil Hall

Panggung khas kanak-kanak.

Direka khas oleh MBO untuk kanak-kanak, ia satu hall yang istimewa dipanggil Kecil Hall. Selain berwarna-warni, terdapat taman permainan mini di kawasan sekitar. Kanak-kanak juga dibenarkan berlari-lari dan menjerit sesuka hati di dalam panggung ini. Hall ini juga tidak terlalu gelap dan hanya filem dengan rating umum sahaja ditayangkan di dalam Kecil Hall.

Harga: RM 15 - RM 20

9. MX4D dan 4DX Hall

Menjanjikan pengalaman luar biasa.

Kalau anda rasa D-BOX Hall dah cukup gempak, tunggu anda rasa pengalaman menonton wayang di dalam MX4D dan 4DX hall di MBO dan GSC. Dilengkapi dengan ciri-ciri 6D, anda akan merasai kesan khas angin, air, kabus, bau, buih dan cahaya apabila berada di dalam hall ini. Hebat kan?

Harga: RM20 - RM30

Sumber: Twitter @salam_zhr