LIFESTYLE
Ini Bukan Kisah Travel Bajet RM250, Jejaka Ini Berhabis RM16,000 Demi Trip Solo Ke Hawaii
Memiliki impian untuk ke mana-mana destinasi percutian idaman pasti pernah dialami oleh setiap daripada kita. Bagi Shafri Fuad, dia telah menjejaki destinasi impian pada usia 26 tahun. Menjadikan Hawaii, Amerika Syarikat (AS) sebagai salah satu destinasi impiannya, ia telah pun menjadi kenyataan pada September 2016.
Menurut Shafri, “Idea nak pergi ke Hawaii ni sebenarnya datang dari rakan sekerja. Dia baru pulang dari bercuti ke AS tapi tak sempat nak ke Hawaii. Jadi dari situ saya tanam impian untuk nak ke Hawaii. Memang saya banyak buat research tentang Hawaii. Tanggapan pertama saya pada Hawaii pun dah salah. Ingatkan Pulau Hawaii ni kecil je, rupanya besar!”
Merasakan September sebagai bulan yang sesuai untuknya berkunjung ke negara itu, Shafri sengaja memilih bulan sembilan ini kerana musim panas hampir berakhir dan kurang pengunjung. Tambah Shafri, “Visa ke AS saya dah apply masa bulan Jun 2016 dan memilih untuk hadir ke sesi temuduga pada bulan Julai. Alhamdulillah, proses yang bermula pada jam 1.30 tengahari berjalan lancar dan saya meninggalkan Kedutaan Amerika pada jam 3 petang”.
Dengan research yang mendalam mengenai tempat-tempat yang ingin dilawati, aktiviti-aktiviti yang bakal dilakukan serta penerbangan ke Hawaii, Shafri telah memilih Philippines Airlines untuk ke Hawaii kerana waktu transit di Manila adalah paling singkat dan merupakan kedua termurah selepas China Eastern Airlines. Penerbangan ke Honolulu, Hawaii dari Manila mengambil masa 10 jam 45 minit. “Saya bergerak dari KLIA2 menaiki AirAsia ke Manila, Filipina. Di Manila, transit selama 5 jam sebelum berlepas ke Honolulu dengan Philippines Airlines. Jadi laluan saya pada percutian kali ini adalah Kuala Lumpur – Manila – Honolulu – Hilo – Maui – Honolulu – Manila – Kuala Lumpur”, jelas Shafri.
Graduan komunikasi dari university Limkokwing ini tidak cerewet tentang pemilihan makanan. Lebih suka memilih penginapan berbentuk kediaman di Airbnb, Shafri lebih gemar ke pasaraya, membeli barangan dapur dan masak sendiri di penginapannya memandangkan segala kelengkapan seperti dapur sudah tersedia. “Di sana, saya ke Walmart dan memberi barangan keperluan dan masak sendiri jadi saya sudah jimat dari segi makanan. Kalau saya keluar bersiar-siar, saya masak dan bawa bekal. Tapi ada juga saya pergi ke restoran Jepun dan restoran tempatan untuk merasa makanan di Honolulu”.
Menceritakan dengan lebih lanjut mengenai pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke Hawaii, mula-mula menjejakkan kaki ibarat mimpi sebab ini pertama kalinya dia sampai ke Amerika Syarikat. “Ketika sampai je di airport Honolulu, saya telah ditahan hampir tiga jam di pejabat Kastam dan Imigresen AS. Mereka bertanyakan soalan standard seperti tujuan saya ke situ, menginap dimana, berapa banyak duit yang saya ada, saya bawa makanan sendiri tak, apa dalam beg saya, pernah tak saya pergi ke negara timur tengah dan sebagainya. Kemudian mereka ada sedikit masalah dengan nama saya. Sebab nama saya bermula dengan Muhammad, jadi mereka periksa latar belakang saya agak lama sikit. Tapi pegawai mereka sangat tertib dan bersopan-santun. Selepas tiga jam saya ditahan, mereka membenarkan saya pergi.
“Antara yang saya perasan masyarakat di Hawaii ni, skill pemanduan mereka sangat berhemah. Sepanjang sembilan hari di Hawaii, saya menyewa kereta jadi saya kagum dengan pemanduan mereka yang cukup cermat. Hawaii memang tempat yang anda wajib pergi. Alam semulajadi, lautan, pantai, gunung berapi memang cantik dan lain dari yang lain. Korang kena rasai sendiri pengalaman tu sebab memang terlalu indah. Total kos perbelanjaan dari tiket penerbangan, kereta sewa, masuk ke semua tempat pelancongan, bersiar-siar dan membeli-belah, saya berhabis dalam RM16,000. Memang nampak macam duit kumpul 4,5 bulan gaji tapi sangat berbaloi.”, katanya lagi.
Aktiviti Shafri di Hawaii:
18 September 2016 (KL – Manila – Honolulu)
8.30 am – Transit di Manila selama lima jam
5.30 pm – Penerbangan ke Honolulu menaiki Philippines Airlines
9.30 am – Tiba di Honolulu, transit lima jam di airport
2.45 pm – Penerbangan ke Hilo menaiki Hawaiian Airlines
5.00 pm – Tiba di Hilo, ambil kereta sewa dan letak beg di penginapan
8.00 pm – Membeli barangan dapur di Wallmart
19 September 2016
8.00 pm – Bertolak ke Hawaii National Park
5.00 pm – Mengikuti Lava Watching Night Tour
20 September 2016
8.00 pm – Bertolak ke Mauna Kea Observatories
3.00 pm – Menjelajah Akaka State Falls
21 September 2015
8.00 am – Bertolak ke Kona, Hawaii
4.00 pm – Bersiar-siar di Waipio Valley Lookout
22 September 2016
8.00 am – Aktiviti Zipline, menaiki helicopter dan tour gunung berapi
23 September 2016
1.30 pm – Terbang ke Maui
4.00 pm – Letak beg di penginapan dan berehat
6.00 pm – Beli barang dapur di pasaraya
24 September 2016
5.00 am – Melihat matahari terbit di Haleakala National Park
11.00 am – Bersiar-siar sekitar Maui
25 September 2016
7.00 am – Trip ke Molokini Crater untuk scuba dan snorkeling
4.00 pm – Terbang ke Honolulu
7.00 pm – Check in di Waikiki Beach
26 September 2016
9.00 am – Aktiviti di Skydive Hawaii
2.00 pm – Aktiviti di Pali Cliff Lookout Point
3.00 pm – Aktiviti di Diamond Head State Park
4.00 pm – Balik hotel, berehat
6.00 pm – Membeli-belah di Waikiki Beach Street
27 September 2016
9.00 am – Bersiap untuk pulang ke tanahair