LIFESTYLE
Lelaki Atau Wanita, Mana Lebih Cepat Kurus? Ini Jawapannya!
Pernahkah anda melihat adik, abang, teman lelaki atau suami anda hilang berat badan dalam masa singkat? Walaupun sama-sama berdiet, namun akhirnya mereka juga yang paling banyak susut.
Hal ini memang diperakui oleh pakar terutamanya selepas satu kajian perbandingan jantina dilakukan baru-baru ini. Sekelompok saintis menghimpunkan 2,000 dewasa yang lebih berat badan sekitar Eropah, Australia dan New Zealand.
Kesemua individu ini kemudian menjalani diet yang mengawal pengambilan kalori. Hanya 800 kalori saja dibenarkan setiap hari. Sup, bijirin dan sedikit sayur sayuran saja yang mereka makan.

Pada akhir ujian, saintis ini mendapati golongan lelaki turun berat badan paling banyak iaitu purata 11.8 Kilogram (kg) berbanding wanita hanya sekitar 10.2kg. Selain berat badan, kajian juga mendapati kadar lemak dalam badan serta risiko mendapat diabetis menurun.
Secara umumnya, lelaki dikatakan mempunyai metabolisma lebih tinggi dan mempunyai lebih lemak viscera. Malah disebabkan lelaki mengambil lebih banyak kalori setiap hari daripada wanita, lelaki akan merasakan kesan pengurangan kalori lebih cepat.
Bagaimanapun, golongan wanita jangan berputus asa dengan kajian ini, kerana terdapat juga kajian lain mendapati penurunan berat badan yang drastik berlaku pada lelaki hanya tempoh masa singkat dan bukannya jangka masa panjang. Ini hanya kajian, hanya anda yang mampu mengubahnya.

Apapun, jaga kadar kalori dan gula dalam makanan harian kita. Jika mahu laporan penuh kajian terbabit, anda boleh baca di Journal Obesity.