Perak sememangnya terkenal sebagai salah satu daripada lokasi pelancongan menarik di Malaysia yang menjadi tumpuan ramai pelancong tidak kira tempatan dan luar negara.

Malah, kedudukannya yang berada tengah-tengah laluan utara dan selatan menjadikannya lokasi paling strategik dan mudah untuk dikunjungi.

Antara lokasi yang popular adalah Lost World of Tambun, Kellie's Castle, Taman Rekreasi Gunung Lang, Royal Belum, Bukit Merah, Pulau Pangkor dan paling baru adalah Taman Tema Maps.

Bagaimanapun, selain senarai destinasi popular ini, ramai yang tidak tahu sebenarnya masih banyak lokasi pelancongan yang menarik dan bersejarah.

Bagi anda yang masih tertanya-tanya atau buntu ke manakah lokasi yang hendak di tuju jika berkungjung ke Perak, sebenarnya ada banyak tempat lain yang mungkin belum pernah anda sampai.

Rojak Daily senaraikan lima lokasi paling ‘underrated’ yang perlu anda kunjungi sekiranya melancong ke Perak:

1. ISTANA RAJA BILLAH

Istana lama ini menyimpan 1001 kisah dan sejarah tersendiri.
Kellie's Castle bukanlah satu-satu lokasi bersejarah yang boleh anda kunjungi kerana istana ini juga mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Terletak di pekan Papan, Perak, jaraknya tidaklah terlalu jauh dari bandaraya Ipoh. Hanya mengambil masa perjalanan sekitar 15 atau 20 minit.

Difahamkan pembinaan istana ini siap sepenuhnya pada tahun 1989 dan menjadi milik Raja Billah iaitu bangsawan diraja Sumatera. Rumah ini dibina juga oleh Raja Billah sebagai tempat terakhirnya dalam meneruskan kehidupan.

Pelbagai kisah mistik yang dikaitkan dengan istana ini. Namun, anda harus faham dahulu kisah sejarahnya dan barulah tahu maksud mistik yang diperkatakan.

Gambar lama istana yang sempat dirakam.
Jika anda memasuki kawasan ini, anda akan terpukau dengan suasana pekan lama yang agak sunyi dan kosong seperti tiada penduduk.

Kawasan sekitar istana sememangnya agak sunyi kerana tidak ramai yang masih tinggal di situ.

Bagaimanapun, struktur bangunan asal masih lagi dikekalkan, sesuai untuk anda yang mahu mengambil gambar bersejarah atau merasai pengalaman berada di pekan koboi.

Jika sudah tiba di Istana, maka cubalah menjaga tingkah laku kerana tempat sejarah ini mempunyai 'penjaga'. Jangan sewenang-wenangnya berkeliaran di situ.

Kali terakhir penulis berkunjung ke sini, terdapat seorang wanita agak berusia tinggal bersebelahan istana ini. Difahamkan dialah yang menjaga kebersihan sekeliling istana ini.

Tiada waktu operasi khusus untuk Istana ini kerana ia hanya kawasan peninggalan lama.

Namun, jika anda dari Ipoh boleh menuju ke pekan Papan menerusi alamat ini, 106, A188, 31550 Pusing, Perak.

2. MUZIUM GOPENG

Lihatlah sendiri pintu masuk muzium ini. Menarik bukan?
Terletak di tengah-tengah pekan Gopeng, muzium ini sebenarnya menyimpan ratusan artifak dan barang antik yang bersejarah.

Jika tiba di muzium ini, rekaan dan warna pintu hadapannya saja sudah menggambarkan ciri sejarah yang bakal dihidangkan kepada pengunjung.

Malah, jika anda mula melangkah masuk, kira-kira 300 barang antik yang menghiasai setiap inci ruang di dalam muzium ini. Terdapat dua tingkat dan anda pasti akan teruja.

Dalam muzium ini terdapat juga mesin lama yang digunakan untuk memproses biji timah dan getah oleh nenek moyang kita dahulu. Untuk makluman, Gopeng turut terkenal dengan kawasan perlombongan biji timah di Lembah Kinta.

Selain mesin lama, barang klasik yang turut dipamerkan adalah radio, basikal, alat penimbang dan beberapa jenis mata wang lama.

Selain itu, berhampiran muzium itu juga mempunyai beberapa hasil mural yang memeriahkan lagi pekan Gopeng yang ‘old school’ ini.

Alamat: 28, Eu Kong Street, 31600 Gopeng, Perak.

Waktu operasi: 9 pagi - 5 petang (setiap hari kecuali Rabu dan Khamis)

3. TASIK CERMIN

Pemandangan indah Tasik Cermin
Sebelum beralih kepada lokasi ini, ingin penulis nyatakan ia adalah tempat harta persendirian, oleh itu segala yang berlaku ada di bawah tanggungjawab masing-masing.

Namun, jika anda ke sini pastinya akan terpukau dengan pemandangan indah tasik cermin ini.

Menurut laman sesawang Orang Perak, laluan ke tasik ini tidaklah terlalu mudah. Malah, tiada alamat yang spesifik. Untuk memasuki tasik ini, anda perlu melalui gua sepanjang 50 meter yang dijadikan sebagai pintu masuk.

Ramai menyatakan ia seperti memasuki laluan ke dunia lain kerana sebaik saja memasuki kawasan tasik, pemandangannya sangat mengagumkan. Malah, ada sebab ia dipanggil tasik cermin dan anda harus ke sini untuk mendapat jawapannya.

Setibanya anda di sana, terdapat juga pelantar yang disediakan untuk berehat sambil menikmati keindahan alam sekitar.

Tiada alamat khusus tetapi Tasik Cermin ini terletak di Gunung Rapat.

Koordinat lokasi ini adalah (N4° 33.560′ E101° 07.210′)

4. PULAU ORANG UTAN

Antara khazanah alam yang patut diperlihara.
Rasanya penduduk Perak sendiri mungkin tidak tahu sebenarnya mereka mempunyai sebuah Pulau Orang Utan yang sangat eksklusif.

Untuk ke pulau ini, anda perlu ke Bukit Merah terlebih dahulu dan kemudian menaiki bot dari pulau berkenaan.

Setibanya anda di sana, pengunjung akan disajikan terlebih dahulu mengenai maklumat berkaitan orang utan dan tujuan utama pulau itu dijadikan sebagai tempat perlindungan khas haiwan berkenaan.

Anda kemudian akan dibawa memasuki pulau bagi melihat pelbagai telatah dan jenis orang utan.

Terdapat sangkar besi yang membolehkan anda melihat haiwan terbabit dengan lebih dekat. Orang ramai mampu melihat aksi-aksi spontan haiwan tersebut bergayut dan melompat dari pokok ke pokok.

Difahamkan juga hampir 17 orang utan berjaya dilahirkan hasil program dilaksanakan oleh pihak pengurusan sejak beberapa tahun lalu.

Untuk ke destinasi, anda perlu ke Bukit Merah Laketown Resort untuk membeli tiket ke Pulau Orang Utan.

Bayaran: RM30 untuk dewasa, RM18 (kanak-kanak atau pelajar) dan RM55 (warga emas berusia 55 tahun ke atas).

Maklumat lanjut boleh layari Pulau Orang Utan

5. ADELINE VILLA AND REST HOUSE

Tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan tempat ini.
Rojak Daily Skop! pernah mendedahkan lokasi ini beberapa bulan lalu. Namun, lokasi ini masih layak berada dalam senarai tempat paling ‘underrated’ di Perak kerana tidak ramai yang tahu mengenai keunikan tempat ini.

Tempat ini lebih sesuai jika anda mahukan ‘privacy’ kerana tidak sambungan Internet disediakan. Ia dinyatakan dalam laman sesawang mereka sendiri.

Jika dari Ipoh, ia hanya mengambil masa 30 minit dan terletak di Kampung Geruntum, Sungai Itik, Gopeng.

Apa yang uniknya tempat ini, ia terletak betul-betul di pinggir hutan selain turut menyediakan menu makanan yang enak.

Selain itu ‘Guest House’ yang disediakan juga agak uni kerana dihasilkan dengan bahan buluh semula jadi seperti mana digunakan oleh orang Asli.

Selain itu, anda juga mencuba aktiviti lasak seperti aktiviti ‘waterfall abseiling’ dan ‘white water rafting'.

Lokasi: Anda perlu ke Kampung Geruntum, Sungai Itik, Gopeng.

Bayaran: Untuk makan malam RM50 seorang manakala penginapan bermula RM220 seorang

Maklumat lanjut boleh layari Adeline Villa And Rest House. Anda juga boleh boleh tinjau hotel-hotel murah di sekitar Perak menerusi Traveloka.