Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Mat Dan Mahu Simpan Sisi Kehidupan Peribadi

Mohamad Bakar
27/04/2017 06:00 MYT

Siapa sangka jodoh jejaka ‘Mat Saleh' yang fasih bertutur loghat Terengganu, Mat Dan akhirnya tertawan di Malaysia. Sikapnya yang suka mengembara akhirnya bukan sahaja membuatkan dia jatuh cinta dengan Pulau Kapas tetapi bertemu jodoh dengan wanita Melayu yang dinikahinya sekitar Mac lalu.

Kisah perkahwinan diadakan dekat Bukit Chendering, Kuala Terengganu secara tertutup dan diam itu menjadi viral lebih selesa disimpan erat dalam hati. Jejaka berusia 28 tahun dengan nama Islamnya, Kareef Daniel Abdullah itu berkahwin dengan gadis pilihan yang difahamkan bertugas sebagai seorang pramugari.

Bercerita kepada Rojak Daily Kaw! baru-baru ini, Mat Dan selesa membiarkan kerjayanya sahaja yang diperkatakan berbanding sisi peribadi. Ia termasuklah kisah rumah tangga yang dibina.

“Prinsip ini didorong oleh rasa hormat terhadap isteri dan keluarga mentua saya. Saya akur permintaan isteri dan keluarganya.

“Cukuplah kisah saya sebagai public figure sahaja yang dikongsi. Selebihnya biar disimpan erat. Apabila berkahwin, saya bukan berkahwin dengan isteri sahaja tetapi secara jelas dengan keluarganya juga.

“Sebab itu saya tak mahu terlalu beriya-iya mendedahkan cerita kahwin dan hal peribadi. Biarlah hal itu kekal dalam privasinya. Cukuplah hanya kenal diri saya Mat Dan yang bertuah mencuba nasib di Malaysia dan diberi rezeki untuk memeriahkan persada seni tempatan,” katanya.

Mat Dan mencipta fenomena dan sensasi tersendiri apabila videonya bercakap loghat Terengganu pernah tular suatu ketika dahulu di laman sosial. Kehadirannya diperkatakan netizen. Ditanya bagaimana berubah hidupnya kini berbanding beberapa tahun lalu, Mat Dan sendiri tidak menyangka kembaranya ke Pulau Kapas, Terengganu akhirnya membuatkan dia terus jatuh cinta dengan Malaysia.

Bahkan lebih manis, dia bertemu jodoh dengan wanita Melayu. Kehidupannya berubah sekelip mata kini. Malaysia juga membuatkan hatinya tertawan seterusnya memeluk Islam.

“Saya bercuti dan merantau ke Malaysia sekitar 2009. Saya pula jenis yang memang suka mengembara. Tak sangka hati betul-betul jatuh cinta dengan Pulau Kapas. Dari hanya memakai seluar pendek dan bersinglet serta berselipar jepun, hidup saya kini berubah. Saya bersyukur dengan perubahan ini. Tak percaya juga sebenarnya.

“Saya dalam fasa membiasakan diri dalam hal ini. Alhamdulillah dalam tempoh setahun rezeki saya murah. Dari duduk di Pulau Kapas, saya mencari rezeki pula di Kuala Lumpur. Dari hanya datang bercuti di Pulau Kapas, hati saya betul-betul jatuh cinta di sini. Malaysia cukup istimewa di hati,” katanya yang mula fasih berbahasa Melayu serta loghat Terengganu sejak tahun 2012. Kata Mat Dan bukan senang nak menguasai bahasa Melayu.

“Hanya selepas empat tahun baru saya mahir cakap bahasa Melayu dan loghat Terengganu. Tapi saya ambil konsep redah dan langgar sahaja dalam belajar bahasa ini. Lama kelamaan saya semakin fasih dan menguasai bahasa tempatan. Peluang berada di Pulau Kapas juga membolehkan saya bergaul dengan orang kampung,” katanya yang akan kembali sibuk mengacarakan rancangan travelog, Haramain Backpackers siaran Astro Oasis bagi musim kedua tak lama lagi.

#Kehidupan Selebriti