
Coach Cem atau nama sebenarnya, Mohamad Ashraf Hasim punya minat yang mendalam dalam bidang kecergasan dan menjadikan bidang ini sebagai lubuk rezekinya. Walaupun menamatkan pengajiannya dalam teknologi biologi dan pernah berkerja di sebuah syarikat bioteknologi, perasaannya terhadap bidang itu tak lama. “Lepas 9 bulan berkerja, saya mendapati pekerjaan saya agak bosan dan dari situ saya berhenti kerja dan nak mulakan sesuatu dalam bidang yang saya cintai, kecergasan”, jelas Cem.

Setahun bertapa menghadiri pelbagai kursus kecergasan, bermulalah kerjayanya sebagai seorang jurulatih di Fitness First, Puchong. Apabila dia mula mendapat permintaan untuk menjadi jurulatih peribadi, dari saat itulah dia bertegas mahu berdiri di atas kaki sendiri.

Advertisement
Menurut Coach Cem, “saya menjadikan Kevin Zahri sebagai idola dan inspirasi. He’s a great person, humble dan sangat passionate dalam bidang kecergasan. Saya nak menjadi seperti dia satu hari nanti, dikenali dalam bidang kecergasan selain dapat membantu orang lain untuk sihat”.

Menceritakan perjalanannya semasa mengendalikan elemen kecergasan AF, inilah satu pengalaman yang amat berharga. “Bagi saya dan keluarga, inilah pencapaian saya yang paling membanggakan. Tapi bila ada cakap-cakap yang kata saya terpilih sebagai cikgu fitness AF sebab saya baik dengan Kevin Zahri lah, saya pernah train Zahid AF lah, itu semua tidak benar. Saya berusaha untuk melayakkan diri, tak tidur malam bersengkang mata menyiapkan proposal kecergasan, modul kelas dan sebagainya, akhirnya saya diterima”.

Gempar minggu lepas dikatakan dia mendera seorang pelajar di dalam kelasnya, Coach Cem ada pendapatnya tersendiri. “Saya faham jadual pelajar padat dengan kelas nyanyian, vokal, tarian dan sebagainya, jadi tidak wajar kalau saya nak mendera diorang macam nak masuk pertandingan Ironman. Saya hanya nak mereka sihat, cergas dan berada di tahap yang optimum untuk bersaing dalam AF”, Tegas Cem.

"Saya hanya menggunakan kaedah pergerakan asas dan diorang mampu melakukannya. Tapi bila diorang mula malas atau tak perform dalam sesuatu persembahan, tak fit atau tak cukup nafas, baru saya akan berkeras sedikit dalam kelas kecergasan”, jelasnya lagi.

“Pernah sekali saya beritahu orang kampung yang saya jadi cikgu fitness AF 2016, sorang pun tak percaya. Diorang siap ketawakan saya dan kata saya berangan. Tapi bila dan nampak muka saya handle kelas kecergasan dalam Diari AF, baru mereka diam”. Jadi nasihat Cem pada semua, teruskan usaha sampai habis. Apa sahaja peluang yang datang, ambil, gunakan dan jangan dipersia. Kita sendiri tak tahu sampai masa peluang itu akan membawa rezeki yang berlipat ganda.

Turut bergelar seorang penulis tamu di dalam akhbar Kosmo untuk segmen cergas, Cem ada tips buat anda yang semangat nak sihat tetapi malas. “Carilah sumber inspirasi untuk anda bermula. Belilah barang-barang sukan macam kasut, baju, seluar dan terus daftarkan diri anda dalam sebarang program kecergasan ataupun di gimnasium. Pemakanan juga haruslah seimbang. Jika ada masa terluang, pergilah bermain badminton, futsal ataupun dodgeball untuk keluarkan peluh dan paling penting sekali, tidur kena cukup”, jelasnya diakhir bicara.