Tidak kira berapa kali datang pun, Bali merupakan antara destinasi yang kerap kita kunjungi jika ada tarikan terbaru.

Sama ada bersama keluarga, teman-teman ataupun bulan madu, Bali sentiasa menerima kehadiran pelancong.

OMNIA Club antara tarikan di Uluwatu, Bali..

Namun, bersedialah kerana pelancong asing yang mahu memasuki Bali akan dikenakan cukai berjumlah AS$10 (RM41.13) untuk melindungi alam sekitar dan budayanya.

Gabenor Bali, Wayan Koster menerusi Jakarta Post berkata mereka sudah pun merangka undang-undang untuk menguatkuasakan langkah tersebut. “Ini akan memberikan kami ruang fiskal yang lebih baik untuk menyokong pembangunan Bali,” ujarnya.

Bali menerima sejumlah 5.7 juta pelancong asing pada 2017, yang kebanyakannya dari China dan Australia.

Nusa Penida menarik perhatian ramai.

Perangkaan pada 2018 pula dijangka melepasi 6 juta, apabila pulau peranginan itu menjadi tuan rumah acara bertaraf antarabangsa seperti Bali Spirit Festival, Bali Art Festival dan Ubud Food Festival.

Pelancong domestik bagaimanapun terkecuali daripada cukai tersebut.

Antara festival yang popular, Bali Art Festival.

Bulan lalu, Bali mengharamkan plastik kegunaan tunggal seperti beg beli-belah, styrofoam dan penyedut minuman dalam usaha mengurangkan sehingga 70 peratus sisa plastik di persekitaran marin pulau berkenaan dalam tempoh setahun.

Penggubal undang-undang masih belum mengenalpasti kaedah mengutip cukai pelancongan tersebut. Antara cadangan termasuk menambah caj levi pada harga tiket penerbangan atau mengutip bayaran itu di lapangan terbang.

“Para pelancong akan memahami peraturan baharu ini. Mereka akan gembira untuk membayarnya kerana ia akan digunakan untuk memperbaiki persekitaran dan budaya," ujar Wayan lagi.