Kalau kebanyakan artis memilih nak jual tudung dan minyak wangi, Nelydia Senrose pula baharu melancarkan jenama pakaian tidurnya baru-baru ini. Pelakon jelita itu menggunakan jenama Impian by Nelydia dan ia juga menyaksikan percubaan pertamanya dilakukan secara serius dalam bidang perniagaan.

Sebelum ini, Farah Asyikin dan Winnie K antara segelintir selebriti lain yang pernah mempromosikan baju tidur dan pakaian dalam sebagai bisnes masing-masing. Buat permulaan Nelydia mewujudkan akaun Instagram rasmi @impianbynelydia yang kini sudah mempunyai lebih 120,000 pengikut di laman bergambar popular itu.

Ia diusahakan di bawah syarikatnya sendiri.

"Saya nekad untuk tampil dengan perniagaan baju tidur kerana ia begitu dekat dengan diri. Saya sukakan baju tidur, malah pendek kata, semua golongan wanita menyukainya. Ia memang sinonim dengan golongan wanita.

"Cuma biasalah sebelum ini tidak ramai orang yang berani membicarakannya secara terbuka. Tiada salahnya pun untuk menjual baju tidur kerana ia keperluan wanita. Di luar negara, ia bukan lagi perkara asing. Ada jenama luar yang begitu dekat di hati wanita Malaysia. Jadi, kenapa tidak saya sendiri keluarkan barangan sama?

“Perniagaan ini tercetus tahun lalu dan sejak itu saya mula mencari material yang sesuai dan selesa. Saya sangat teliti dalam hal ini" katanya teruja.

Pelakon yang baharu selesai penggambaran drama Encik Suami Mat Salih Celup, karya yang diangkat daripada novel berjudul sama itu turut melihat pemilihan nama Impian by Nelydia memberikan simbolik cukup besar dalam hidup dan dirinya.

“Semua orang dalam dunia ini mempunyai impian. Impian saya sendiri semestinya untuk berjaya dengan perniagaan ini dan melihat semua wanita di luar sana memakai pakaian tidur yang cantik," katanya.

Adik kepada Uqasha ini juga sedang menanti tayangan filem Jebat The Movie, naskhah lakonannya bersama Sharnaaz Ahmad, ke pawagam.