Diri siapa sahaja yang tidak berbangga apabila diberi penghormatan untuk diabadikan sebagai salah satu ikon popular dunia, patung Barbie! Tambah istimewa apabila beliau, Ibtihaj Muhammad merupakan seorang atlet lawan pedang pertama dari Amerika Syarikat yang memakai hijab ketika bertanding dalam Sukan Olimpik 2016.
Syarikat Mattel telah melancarkan anak patung Barbie pertama yang memakai hijab sebagai sebahagian daripada koleksi 'Sheroes' keluaran Mattel dan ia memakai pakaian lengkap atlet lawan pedang, selain hijab.
Advertisement
Menurut Mattel, "Ibtihaj akan terus memberi inspirasi kepada wanita dan remaja perempuan di seluruh dunia untuk memecah tembok halangan yang ada. Patung Barbie itu akan memberi inspirasi kepada semua kanak-kanak perempuan, yang tidak pernah menyangka mereka mampu berjaya dalam bidang sukan dan kebudayaan. Kami harap patung ini mampu menunjukkan kepada kanak-kanak perempuan bahawa mereka mampu melakukan apa sahaja".
Ibtihaj, 31, menerusi laman Facebooknya berkata, langkah Mattel menghasilkan patung Barbie itu umpama menjadikan impian zaman kanak-kanaknya satu kenyataan.
"Terima kasih kerana memberi penghargaan kepada wanita di luar sana yang berusaha untuk memberi inspirasi kepada orang lain. Saya gembira kerana gadis di seluruh dunia kini boleh bermain dengan Barbie yang memakai hijab", jelasnya.
Koleksi patung Barbie #Shero ini akan mula dijual secara dalam talian mulai tahun 2018. Selain Ibtihaj, turut sama berada di dalam koleksi ini adalah model berbadan besar terkenal dunia, Ashley Graham.