LIFESTYLE
Pawagam Jadikan Masyarakat Kelantan Lebih Matang Bukan Kuno
Menonton wayang di pawagam boleh mencetuskan budaya negatif seperti menggalakkan perbuatan maksiat. Itu persepsi segelintir pihak apabila berbicara hasrat mahu mewujudkan pawagam di Kelantan.
Tanpa melihat aspek positif pawagam sebagai medium masyarakat berhibur dengan cara lebih baik, persepsi negatif sebegini lebih banyak dibicarakan berbanding manfaat yang diperolehi masyarakat Kelantan sendiri.
Timbalan Pengerusi, Biro Penerangan dan Aduan, Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, sudah sampai masanya masyarakat Kelantan dianggap matang dalam menerima kewujudan pawagam di tempat sendiri.
"Mereka (masyarakat Kelantan) dianggap kuno disebabkan tiada pawagam di sana dan pentadbiran kerajaan negeri juga pernah mempelekehkan rakyat sendiri seolah memandang rendah untuk rakyat mempunyai pawagam sendiri," katanya ditemui Rojak Daily Kaw! di Kuala Lumpur, hari ini.

"Jika melihat Internet, pengisiannya tidak terkawal sedangkan pawagam lebih terkawal dan profesional kerana filem yang ditayangkan perlu mendapat lesen dan kelulusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
"Sebenarnya, apabila kita menafikan kehendak masyarakat mahukan pawagam, ia menjadikan kelompok itu lebih terpinggir. Adanya pawagam, banyak filem membawa mesej yang positif dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan," katanya.
Wan Syahrul yang juga merupakan aktivis filem berpandangan, ketiadaan pawagam turut memberi kesan pada masyarakat apabila mereka sebagai pengguna lebih banyak memuat turun bahan cetak rompak di Internet secara berleluasa.
"Jika fikir pawagam tempat penonton membuat maksiat, itu adalah pandangan kuno. Kami sebelum ini ada mencadangkan Pawagam Komuniti diwujudkan di sana yang dikelolakan FINAS sebagai tanggungjawab sosial pada masyarakat.
"Komuniti bermaksud ia bersifat bukan menjana keuntungan. Sudah semestinya jika projek ini direalisasikan, ia mengubah lanskap masyarakat Kelantan yang mempunyai pawagam sebagai perpustakaan visual dan juga menjadikan mereka yang cerdik dalam media sosial lebih tertib untuk menonton pawagam," katanya sambil memberitahu projek ini masih menunggu perjumpaan seterusnya antara FINAS dengan Kerajaan Negeri Kelantan.
Must-Watch Video